Tidak mahu saat keemasan bersama anak berlaku begitu saja

Tidak mahu saat keemasan bersama anak berlaku begitu saja

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Hidup ini penuh dengan pilihan dan setiap pilihan itu pastinya menuntut sebuah pengorbanan.

Begitulah juga kata-kata yang dipegang oleh pelakon, Mira Filzah dalam mengemudi kerjaya seni, perniagaan dan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

Melihat kepada pengorbanan dari sudut pandang seorang wanita berkerjaya, Mira mengakui bahawa takrifan pengorbanan baginya saat ini adalah berkisar mengenai peranan sebagai ibu.

Menggalas tanggungjawab membesarkan anak sambil bekerja bukanlah satu tugas yang mudah untuk diuruskan tanpa kekuatan mental dan fizikal.

“Saya rasa secara umumnya, ia adalah pengorbanan seorang ibu. Bukan saya seorang sahaja, tetapi saya percaya mana-mana ibu pun melakukan pengorbanan yang sama.

“Terutamanya apabila seorang ibu itu juga bekerja, pada masa yang sama menguruskan rumah tangga dan sebagainya.

“Pengorbanan seorang ibu itu dari segi masa untuk diri sendiri dan tenaga. Itulah secara umumnya,” katanya.

Bintang filem Sangkar ini menjelaskan, fasa anaknya, Wan Khair Amir Wan Emir Astar yang semakin membesar membuatkan dia lebih berjaga-jaga dalam menguruskan jadual harian.

Dia mahu memastikan setiap detik keemasan bersama permata hatinya tidak berlalu begitu sahaja tanpa kehadirannya di sisi.

“Saya masih lagi menitikberatkan soal susunan masa sebab dia perlukan perhatian dan saya pun mahu dia membesar dengan saya berada di hadapan matanya.

“Dia pun sekarang sudah berada pada usia yang tahu apa yang dia mahu dan sedar kehadiran mamanya. Jadi, saya kena betul-betul membahagikan masa sebaiknya,” katanya.

Bukan sahaja korbankan masa demi anak, kerjaya sebagai anak seni itu sendiri sebenarnya sudah menuntut pengorbanan masa yang sangat besar buat Mira sejak dahulu lagi.

Terikat dengan jadual penggambaran yang padat dan panjang selalunya memisahkan anak seni daripada masa berkualiti bersama keluarga tercinta.

“Masa. Sebab berlakon memang mengambil masa yang lama, prosesnya sangat panjang. Kalau satu hari itu kita tidak bekerja, kita rasa sekejap sahaja, tahu-tahu esok sudah tiba hari baharu.

“Tetapi kalau menjalani penggambaran, rasa macam, ‘Eh, baru pukul 8 malam? Ada lagi babak?’ Jadi, memang terasa panjang.

“Sebagai seorang pelakon, kami banyak mengorbankan masa di set berbanding bersama keluarga dan menguruskan hal-hal lain,” katanya.

Sebab itu juga, Mira mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan selepas selesai penggambaran filem terbaharunya demi memberikan tumpuan penuh kepada jenama pakaian miliknya, Mira Filzah yang kini giat menghasilkan koleksi baharu.

Langkah ini juga satu bentuk pengorbanan untuk memastikan empayar perniagaannya terus kukuh berdiri dalam keadaan ekonomi semasa yang penuh dengan persaingan sengit.

“Buat masa ini, perniagaan sebenarnya bukan mudah, terutamanya tahun ini. Kalau saya tanya mana-mana kawan pun, tahun ini agak mencabar berbanding tahun lepas.

“Jadi, selepas habis filem itu, memang saya merancang dengan pasukan untuk fokus kepada jenama supaya kami boleh bangunkan semula dan mendapatkan momentum untuk raya tahun depan.

“Jadi, berapa lama itu saya tidak pasti, tetapi buat masa ini memang sedang fokus kepada bisnes,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai sambutan Hari Raya Aidiladha, Mira memberitahu tiada persiapan luar biasa yang dilakukan.

Malah, dia dan keluarga memilih untuk meraikannya dengan penuh kesederhanaan di ibu kota sahaja.

“Raya Haji kami sangat sederhana sebab semua orang sibuk, termasuk kami juga sibuk. Jadi, kebiasaannya hari pertama Raya Haji itu kami akan berkumpul bersama seperti raya biasa, di sini sahaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top