Tidak menyesal menjaga bekas isteri, saya halalkan segalanya – Edika Yusof

Tidak menyesal menjaga bekas isteri, saya halalkan segalanya – Edika Yusof

KUALA LUMPUR : Pelakon, Edika Yusof, 59, mengakui tidak menyesal hidup bersama bekas isteri, Nor Hidayah Yusri, selama 22 tahun membina rumah tangga bersama.

Menurut Edika atau nama sebenarnya, Muhammmad Yusof Abdul Majid, sepanjang tempoh itu, dia sudah melakukan yang terbaik dengan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.

“Tidak menyesal. Saya sudah jaga isteri daripada dia sakit terlantar sehingga dia boleh ada produk sendiri dan berdikari sekarang. Sampaikan ada doktor-doktor di luar sana panggil saya untuk kongsikan pengalaman dan tips macam mana saya melakukannya.

“Sebab penyakit yang dialami oleh bekas isteri saya ini, iaitu meningitis, 98 peratus pesakit meninggal dunia manakala dua peratus mengalami kecacatan seumur hidup,”katanya.

Edika berkata demikian semasa ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.

Selain itu, menurut Edika lagi, dia juga menghalalkan segala kudrat, penat lelah dan makan minum yang telah dicurahkan kepada Nor Hidayah sepanjang wanita itu bergelar isterinya.

“Sebagai seorang Islam, sudah tentu saya halalkn semuanya. Saya pun tidak putus akan membantu sebab anak-anak sudah besar dan mereka ada masa depan sendiri.

“Yang pakar menjaga isteri saya adalah saya. Anak-anak mungkin duduk satu rumah, hidup sama-sama tetapi yang menjaga dia ( bekas isteri) adalah saya sebelum ini,”katanya.

Dalam pada itu, dia juga tidak menafikan keadaan akan jadi berbeza selepas ini memandangkan dia kini bukan lagi suami kepada Nor Hidayah.

Berikutan itu, kata Edika, dia akan cuba menyesuaikan diri dengan status baharunya kini sebagai seorang duda.

“Keadaan jadi berbeza sekarang. Saya kena latih diri untuk hidup sendiri bersama anak perempuan saya. Dia pun berhubungan baik dengan ibunya jadi kalau dia nak jumpa bekas isteri saya pada bila-bila masa selepas ini pun tiada masalah.

“Mereka semua sudah besar dan boleh fikir sendiri. Mereka cuma fikir asalkan semua orang bahagia itu sudah cukup,”katanya.

Terdahulu, Edika Yusof dan Nor Hidayah Yusri sah bercerai talak satu menerusi lafaz yang dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pada jam 10.42 pagi.

Edika, atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abd Majid, 58, melafazkan di hadapan hakim syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh.

Pada 24 Mac lalu, peguam syarie mewakili Nor Hidayah iaitu Mohd Yazid Hazim mengesahkan wanita itu sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Edika pada pertengahan Februari lalu.

Menurut Mohd Yazid, mahkamah menetapkan tarikh hari ini bagi lafaz cerai selepas prosiding itu ditangguhkan susulan wanita itu dalam keadaan tidak suci.

Menerusi hasil perkongsian hidup dua dekad pasangan ini sejak 2003, Edika dan Nor Hidayah bahagia dengan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20. -UTUSAN

Scroll to Top