Bahan kimia dadah bernilai RM15 juta dirampas Maritim Malaysia

Bahan kimia dadah bernilai RM15 juta dirampas Maritim Malaysia

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan mematahkan cubaan sindiket dadah untuk menyeludup keluar bahan kimia campuran bernilai RM15 juta disyaki untuk memproses dadah ke negara jiran pada 1 Mei lalu.

Kegiatan licik itu terbongkar hasil kerjasama enam anggota Unit Risikan Maritim Negeri bersama Bahagian Perisikan Maritim (MIND) dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan menggunakan aset bot Benteng 04 di perairan Pengkalan Balak.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu di lokasi pada jam 9.40 malam dan menemui 15 kotak dibalut plastik hitam di atas batu pesisir Pantai Pengkalan Balak, berhampiran sebuah pusat latihan perahu layar.

Katanya, lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai ‘kawasan panas’ aktiviti penyeluduhan dadah dan sentiasa dalam radar pihaknya.

“Hasil pemeriksaan terhadap kotak dirampas menemukan 179 botol cecair bahan kimia yang disyaki baru kira-kira dua hari diletakkan di lokasi berdasarkan keadaan balutan yang masih elok.

“Bahan kimia campuran ini disyaki digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik dengan nilai rampasan di pasaran gelap dianggarkan hampir RM15 juta.

“Bagaimanapun tiada tangkapan kerana sindiket disyaki sudah menghidu kehadiran pasukan operasi dan meninggalkan bahan kimia itu di lokasi,” katanya pada sidang media di pejabat Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, hasil ujian awal, pihaknya mendapati setiap botol itu berisi cecair kimia berwarna kekuningan dan mengandungi campuran ephedrine, ekstasi dan nikotin disyaki untuk memproses dadah sintetik.

“Sekiranya diproses, bahan ini berupaya menghasilkan kira-kira 150 kilogram (kg) dadah sintetik termasuk syabu yang boleh diedarkan kepada 300,000 hingga 800,000 penagih.

“Kita tidak menolak kemungkinan bahan ini juga digunakan dalam vape dan menghantarnya ke Jabatan Kimia dan menunggu laporan analisa lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rampasan berkenaan adalah kejayaan pertama di Malaysia dan terbesar direkodkan pihaknya tahun ini.

“Lazimnya kita merampas dadah yang siap diproses, namun kali ini bahan kimia cuba diseludup ke Indonesia.

“Jadi kita tidak menolak kemungkinan sindiket di negara jiran cuba membangunkan makmal dadah sintetik dengan kerjasama sindiket tempatan untuk pasaran di sana yang mana dadah sintetik dijual pada harga tinggi,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana membabitkan bahan kimia terkawal yang disalah gunakan untuk penghasilan dadah berbahaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top