Dewan Rakyat kecoh, Mohd Sany tuduh Mohd Syahir bersangka buruk terhadap PM

Dewan Rakyat kecoh, Mohd Sany tuduh Mohd Syahir bersangka buruk terhadap PM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekecohan tercetus pada mesyuarat khas di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, apabila Ahli Parlimen kerajaan tidak bersetuju dan menuduh Ahli Parlimen pembangkang bersangka buruk terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbalahan berlaku antara Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok), mengakibatkan sesi perbahasan yang menumpukan perbincangan mengenai isu tarif Amerika Syarikat (AS) terganggu seketika.

Kekecohan bermula apabila Mohd Sany menggesa Mohd Syahir supaya menarik balik kenyataannya yang merujuk Perdana Menteri dan menganggap perkataan ‘ke hulur ke hilir’ sebagai membawa konotasi negatif.

“Saya minta Bachok tarik balik yang kata ke hulur ke hilir tu. Itu maksudnya Perdana Menteri cakna. Dia bekerja untuk menyelesaikan masalah itu.

“Saya nak minta Bachok tarik balik (kenyataannya). Itu sangkaan buruk kepada Perdana Menteri. Minta tarik balik,” katanya sebelum diarahkan duduk oleh Timbalan Speaker, Alice Lau.

Mohd Syahir membalas dan menafikan ucapannya sebagai satu bentuk sangkaan buruk terhadap Perdana Menteri.

“Melampau ini. Saya bukan sangka buruk kepada PM (Perdana Menteri), ini pujian. PM rajin ke luar negara, rajin telefon pemimpin luar negara. Itu satu pujian, satu kehebatan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shahir berkata, dalam konflik persaingan kuasa besar dunia ini, Malaysia tidak boleh leka dan alpa dalam mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.

Katanya, kedaulatan ini bukan dalam neraca pelaburan saja, tetapi mencerminkan keupayaan negara untuk membuat keputusan ekonomi yang bebas berdasarkan kepentingan negara, jauh sekali tunduk penjajahan oleh mana-mana kuasa besar.

“Usaha ini perlu dipercepatkan, bukan sekadar ke hulu ke hilir, telefon sana sini. Tetapi kena dijayakan. (Dengan) mempercepatkan rantaian bekalan dan memperkukuh hubungan pelbagai hala di peringkat Asean, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan CPTPP (Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top