am@hmetro.com.my
Kuantan: Digoda dengan kata-kata lucah antara cabaran dilalui oleh guru agama, Wan Muhammad Hafizzul Wan Ismail sepanjang lebih 11 tahun mencurahkan ilmu agama pada golongan mak nyah di daerah ini.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang berani mempelawa untuk datang ke bilik sambil mengenakan pakaian mencolok mata.
Ini ditegaskan Wan Muhammad Hafizzul, 31, yang terbabit dengan aktiviti dakwah dengan mengajar agama dan bacaan al-Quran pada golongan mak nyah sejak 2013.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua golongan berkenaan bersikap biadap, sebaliknya hanya mak nyah berasal dari negara jiran sahaja berbuat demikian.
“Tidak semua mak nyah di daerah ini terbabit dengan aktiviti maksiat di lorong gelap, pondan luar negara lebih banyak melakukan aktiviti sumbang di beberapa lokasi terkenal di daerah ini,” katanya.
Katanya, semua aktiviti berkenaan diadakan di Rumah Ngaji di daerah ini, setiap minggu.
“Sebelum ini terdapat antara 15 hingga 30 mak nyah belajar agama dan mengaji al-Quran, mereka berkumpul bermula 6.30 petang hingga 10 malam.
“Selesai belajar kami makan jamuan disediakan,” katanya, di sini semalam.
Beliau yang kini Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang berkata, terdapat golongan mak nyah benar-benar berminat untuk belajar agama selepas insaf dengan perbuatan mereka.
Katanya, ada juga yang belajar untuk memenuhi masa lapang.
“Saya bersyukur hari ini Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Persatuan Insaf Pahang (PIP) memberi perhatian untuk membantu golongan ini.
“Pelbagai usaha untuk menginsafkan golongan terbabit dilakukan termasuk kelas mengaji dan aktiviti agama.
“Usaha menyekat kegiatan aktiviti maksiat di lorong turut dilakukan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang memasang lampu bagi membantu menghalang kegiatan itu semakin aktif.
“Dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak saya berharap aktiviti mak nyah di daerah dapat dikurangkan, seterusnya dibanteras satu hari nanti,” katanya yang memiliki ijazah dakwah dan pengurusan dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).
© New Straits Times Press (M) Bhd




