BATU PAHAT – MCA bersedia untuk berbincang mengenai pembahagian atau ‘pinjam kerusi’ dengan rakan parti dalam Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara berkenaan perlu dibincangkan secara bersama dan tidak boleh diputuskan secara sepihak kerana setiap parti mempunyai pertimbangan serta kepentingan masing-masing.
“Bagaimana pun, jika kawasan itu benar-benar tidak mempunyai calon kebolehan untuk memenangi pilihan raya manakala penggantinya mempunyai peluang besar untuk menang, ia tidak salah untuk diberikan pinjaman.
“Bukan bermakna MCA terbuka untuk menjual atau meminjamkan kerusi tradisi namun ia bergantung kepada keadaan sesuatu kawasan dan diputuskan melalui perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Peringkat Negeri 2026 secara serentak di seluruh negara di Dewan Persatuan Vhe Ann Khor, Yong Peng, di sini pada Rabu.

Konvensyen MCA Peringkat Negeri 2026 secara serentak di seluruh negara di Dewan Persatuan Vhe Ann Khor, Yong Peng, Batu Pahat.
Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu lagi, terdapat keadaan tertentu yang memerlukan parti membuat percaturan termasuk memberi laluan kepada calon daripada parti lain sekiranya ia dilihat dapat membantu kemenangan BN.
Beliau memberi contoh kawasan DUN Duyong di Melaka yang menurutnya pernah melalui situasi sedemikian, termasuk membabitkan calon yang kemudiannya mendapat sokongan dan dikenali masyarakat setempat.
“Kita kena realistik. Tapi itu pinjam. Tapi kalau pinjam dah, kita kena bincang. Kita sesama kita, kita runding,” katanya.
Ka Siong berkata, MCA tidak menetapkan pendekatan kerusi yang ‘dipinjamkan’ perlu dikembalikan secara automatik, sebaliknya perkara itu perlu dilihat berdasarkan keadaan semasa dan rundingan antara parti.
Katanya, matlamat utama adalah memastikan BN mempunyai calon yang mampu memenangi kerusi berkenaan, selain mengambil kira penerimaan rakyat terhadap calon.
“Kalau orang itu boleh, berkebolehan, apa masalahnya? Kita tak tolak,” katanya.
Beliau berkata, keputusan akhir mengenai pembahagian kerusi dan calon bagaimanapun perlu melalui proses rundingan serta diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti dan BN.
“Kita bincang bersama. Kita ada cara kita untuk buat apa, macam mana nak jelaskan, langsaikan hutang. Kita bincang,” katanya.