am@hmetro.com.my
Kuantan : “Saya tidak mampu lagi menahan air mata apabila hampir semua perabot termasuk dokumen penting musnah sekelip mata selepas ditenggelami banjir kelmarin,” kata mangsa banjir, Abdul Allif Alias, 38.
Dia yang menetap di Taman Seri Inderapura, di sini, berkata, episod banjir kali ini tidak terlalu besar berbanding pada 2021 yang mencapai paras dada orang dewasa, menyebabkan kerugian besar pada penduduk di daerah ini.
Katanya, faktor berpindah lebih awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendah, di sini, menyebabkan semua barangan dan perabot tidak dapat diselamatkan.
“Kami sekeluarga berpindah pada malam sebelum banjir melanda Taman Seri Inderapura. Saya tidak menyangka paras air kali ini hampir paras lutut orang dewasa. Walaupun air tidak terlalu dalam, namun disebabkan barangan dan perabot terletak di atas lantai menyebabkan semuanya rosak.
“Saya anggar kerugian mencecah RM10,000. Saya reda dengan apa yang berlaku dan yakin ada hikmah di sebalik musibah yang muncul hanya beberapa jam selepas hujan berterusan bersama fenomena air pasang besar,” katanya.
Katanya, selepas ini dia terpaksa menguruskan untuk mendapatkan semula dokumen kesihatan dan persekolahan tiga anaknya. Aktiviti membersih rumah sudah dilakukan semalam dengan bantuan beberapa rakan yang prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.
Abdul Allif berkata, selepas lebih 10 tahun menetap di sini beberapa kali kejadian banjir sudah dihadapi, namun banjir paling besar berlaku pada 2021 yang dianggap terburuk dalam sejarah Taman Seri Inderapura. Hampir keseluruhan taman perumahan di sini ditenggelami air.
“Isteri dan anak menangis melihat pelbagai barangan termasuk perabot, katil, sofa serta tilam musnah sekelip mata. Rumah kami kosong dan terpaksa duduk di atas lantai,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di beberapa taman perumahan yang ditenggelami banjir mendapati kerja mencuci rumah sedang dilakukan sejak semalam. Banyak kerosakan harta benda berlaku berikutan paras air yang tinggi berbanding sebelum ini.
Rata-rata mangsa mendakwa mereka tidak menyangka banjir kali besar selepas 2021, mereka tidak sempat menyelamatkan barangan dan perabot kerana air cepat naik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



