'Tidak! Saya tidak pernah mengabaikan Zayn' – Ismanira

'Tidak! Saya tidak pernah mengabaikan Zayn' – Ismanira

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Ismanira Abdul Manaf memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa dia tidak pernah mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin yang ditemui meninggal dunia pada Disember 2023.

Saksi pembelaan pertama itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Haresh Mahadevan pada prosiding bela diri atas tuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

“Tidak! Saya tidak pernah mengabaikan Zayn khususnya pada 5 haribulan itu (hari kehilangan 5 Disember 2023),” katanya dalam prosiding berlangsung di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Ismanira, 30, yang juga tertuduh kedua yang diperintah membela diri, memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi bermula hari ini.

Tertuduh turut menafikan dakwaan saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin yang memberitahu mahkamah wajahnya kelihatan ‘kosong’ ketika siasatan awal dilakukan.

“Saya tak faham dengan apa yang dia (Inspektor Nina) cakap, sebab saya ini daripada anak saya hilang, saya sudah alami satu perkara yang perit… gelap. Menangis seharian.

“Semasa dia sampai pun sudah lewat malam, fikiran saya cuma pada Zayn kat mana dia… dengan hujan lagi. Jadi tidak faham apa maksud dia muka kosong. Tak akan saya hendak menangis setiap masa?” katanya.

Ismanira turut menjelaskan, pegawai polis itu tiba di kediamannya di Apartmen Idaman Damansara Damai pada 10.30 malam selepas panggilan pertama dibuat kira-kira 6 petang.

“Saya hadir ke balai polis untuk membuat laporan pada 4.30 petang tetapi Inspektor Nina minta tunggu kerana sedang menguruskan kes lain di Hospital Sungai Buloh.

“Saya tunggu sehingga 7.50 malam, sebelum Inspektor Nina menghubungi saya dengan maklumkan dia menerima maklumat daripada ketua blok yang mendakwa ada individu nampak Zayn berjalan di koridor tingkat tiga apartmen saya.

“Dia minta saya balik dulu dan cari betul-betul dan apabila saya hubungi ayah mentua yang sedang mencari Zayn di kawasan apartmen untuk dapatkan pengesahan, namun ayah kata tiada,” katanya.

Sebelum ini, Nina Syamimi, 33, yang juga bekas pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya memberitahu Mahkamah Sesyen, wajah Ismanira seolah-olah kosong dan tiada perasaan.

Katanya, reaksi itu dilihat ketika dia bertemu dengan Ismanira di Apartmen Idaman, Damansara Damai untuk merakam percakapan pada pada 5 Disember 2023.

Terdahulu, pihak pembelaan mengemukakan lima saksi pembelaan termasuk Ismanira dalam prosiding bela diri yang dijangka berlangsung empat hari bermula hari ini.

Perbicaraan bela diri bersambung lagi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top