am@hmetro.com.my
Jitra: “Sepatutnya malam tadi kami main futsal sekali tetapi saya terkejut dimaklumkan Amsyar Muqri hilang selepas mesin padi dinaiki bersama rakan terjatuh ke dalam sungai,” kata Muhammad Hafiz Shazwan Fauzi, 25.
Menurutnya, dia mengenali Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, sejak belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang sebelum ini.
“Dia junior saya dan bila dah habis sekolah kami jumpa waktu main futsal saja.
“Tapi saya dah lama tak jumpa dia, kira-kira dua bulan kerana saya sibuk bekerja manakala dia pula baru mendaftar masuk ke Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Julai lalu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhammad Hafiz Shazwan berkata, arwah Muhammad Amsyar Muqri seorang yang pendiam dan tidak cakap banyak.
Katanya, pada mulanya dia hanya dimaklumkan oleh bapanya ada mesin padi jatuh di sungai Kampung Sanglang tetapi tidak tahu ada mangsa.
“Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan empat daripada mangsa mesin padi itu adalah kawan-kawan saya, dan seorang pula masih hilang iaitu Amsyar Muqri.
“Malam tadi, saya dan beberapa rakan lain cuba mencari Amsyar Muqri di sekitar kawasan sungai hingga ke Titi Tok Mengkula.
“Kami suluh di kawasan berumput jika jasadnya timbul di situ tetapi tidak jumpa, hinggalah pagi tadi saya dimaklumkan jasad arwah akhirnya ditemui,” katanya.
Menurutnya, seorang daripada rakannya yang terbabit dalam insiden itu memberitahu yang arwah cuba pegang kakinya tetapi disebabkan letih dia duduk atas mesin padi yang separuh tenggelam itu.
Katanya, ketika itulah arwah dibawa arus dan hilang tidak lama kemudian.
Jenazah Muhammad Amsyar Muqri dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanglang lepas solat Asar, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga selamat selepas mesin padi dilaporkan jatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, berhadapan SMK Sanglang, di sini, semalam.
Jasad mangsa ditemui jam 10 pagi hari ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan selaman dilakukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani dan Jitra pada hari kedua hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




