SEREMBAN: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dan seorang wakil MCA dijangka antara 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan yang akan mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Istiadat pelantikan yang akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini tertumpu kepada siapakah 10 ADUN yang dipilih mengisi jawatan tersebut.
Sehingga semalam, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tidak mendedahkan nama ADUN yang akan dilantik sebagai Exco.
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu lepas menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala rakan kerjasamanya, Perikatan Nasional (PN) meraih tujuh kerusi.
Secara pecahan, UMNO mempunyai 16 kerusi DUN, MCA (2), Pas (4) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) (3).
ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan telah menawarkan diri untuk tidak dilantik sebarang jawatan dalam kerajaan negeri bagi memberi peluang kepada muka baharu dan segar dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Beberapa ADUN yang dihubungi Utusan Malaysia pula enggan mendedahkan sama ada nama mereka antara yang disenaraikan untuk menganggotai Exco dengan alasan mereka tidak tahu-menahu mengenainya.
Namun, terdapat kemungkinan mereka yang telah menjadi Exco pada penggal yang lalu tidak disenaraikan dalam pelantikan baharu kali ini.
Ini bermakna ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor dan Datuk Mohd. Faizal Ramli (Linggi) mungkin tidak disenaraikan.
Sungguh pun begitu, bekas Exco selama dua penggal antara 2008 hingga 2018, Datuk Zaifulbahri Idris yang juga ADUN Chembong dikatakan bakal kembali sebagai Exco.
Satu-satunya ADUN yang hampir pasti dilantik sebagai ahli Exco ialah ADUN Pilah, S. Lieza Md. Yasin bagi mengisi portfolio hal ehwal wanita.
ADUN Chennah, Siow Kong Choon pula yang menewaskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook di kerusi berkenaan dijangka dilantik menganggotai barisan Exco mewakili MCA.
Kali terakhir MCA menduduki kerusi Exco ialah pada 2008 hingga 2013.
Selain tiga ADUN berkenaan, peluang kini dikatakan terbuka untuk tiga ADUN yang berpotensi disenaraikan sebagai Exco iaitu, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Suhaimizan Bizar (Gemencheh) dan Suhaimi Aini (Kota).
Sementara itu, sebanyak tiga Exco dijangka dilantik daripada PN dengan dua jawatan untuk Pas dan satu untuk Wawasan.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Fairuz Mohd. Isa yang juga ADUN Serting dijangka mengisi satu jawatan tersebut manakala seorang lagi ialah bekas Exco, Datuk Mohamad Rafie Ab. Malek yang memenangi kerusi DUN Ampangan.
Wawasan pula mempunyai tiga pilihan ADUN iaitu, Danni Rais (Klawang), Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).
Walaupun barisan Exco mempunyai 10 jawatan, difahamkan hanya sembilan orang yang mungkin dilantik hari ini dengan satu jawatan bakal diisi oleh pemimpin daripada kaum India pada masa akan datang.
Apa pun, jangkaan ini mungkin benar atau meleset sepenuhnya. – UTUSAN




