Jangan ketinggalan zaman

Jangan ketinggalan zaman

Dunia bergerak dengan sangat pantas. Apa yang dianggap canggih beberapa tahun lalu mungkin sudah menjadi perkara biasa pada hari ini. Kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analisis data, automasi, komunikasi digital dan pelbagai teknologi baharu bukan lagi perkara asing dalam kehidupan manusia. Cara kita bekerja, belajar, berniaga, mendapatkan maklumat bahkan berinteraksi dengan masyarakat telah berubah.

Dalam suasana ini, umat Islam tidak boleh sekadar menjadi pemerhati atau pengguna pasif.

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW sendiri bermula dengan perintah membaca yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena.” (Surah al-Alaq, ayat 1–4)

Ayat ini memberikan gambaran yang sangat indah tentang kedudukan ilmu dalam Islam. Membaca, belajar, menulis dan menyampaikan pengetahuan adalah asas pembinaan tamadun. Jika dahulu pena menjadi antara alat utama penyebaran ilmu, hari ini komputer, telefon pintar, pangkalan data dan teknologi digital menjadi sebahagian daripada ‘pena’ zaman moden. Alat berubah, tetapi tuntutan untuk mencari, menguasai dan memanfaatkan ilmu tetap kekal.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Surah al-Zumar ayat 9)

Prinsip ini sepatutnya membentuk cara seorang Muslim melihat kemajuan teknologi. Kita tidak perlu mengejar setiap teknologi hanya kerana ia baharu. Namun, kita juga tidak sepatutnya memilih untuk tidak mengetahui perkara yang sudah menjadi keperluan kehidupan. Bezanya terletak pada tujuan dan cara penggunaannya. Teknologi ialah alat. Nilainya bergantung pada manusia yang mengendalikannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberikan manfaat kepadamu, mohonlah pertolongan Allah dan janganlah kamu bersikap lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini sangat relevan dalam menghadapi dunia moden. Seorang Muslim tidak sewajarnya membiarkan dirinya dalam keadaan tidak berdaya apabila berhadapan dengan perubahan. Jika pekerjaan memerlukan kemahiran komputer, pelajarilah. Jika pendidikan memerlukan kemahiran mencari dan menilai maklumat digital, kuasailah. Jika kecerdasan buatan membantu meningkatkan produktiviti, fahamilah penggunaannya. Jika dunia pekerjaan memerlukan analisis data, komunikasi digital atau penggunaan aplikasi tertentu, jangan malu untuk belajar.

Namun, celik teknologi bukan sekadar pandai menggunakan aplikasi. Kemahiran digital yang sebenar turut melibatkan kemampuan mencari maklumat yang betul, membezakan fakta daripada kepalsuan, menjaga keselamatan data, berkomunikasi secara beretika dan menggunakan teknologi untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Dalam zaman limpahan maklumat, mengetahui cara menilai maklumat kadangkala lebih penting daripada sekadar mengetahui cara mendapatkannya.

Tamadun Islam pernah melahirkan ilmuwan yang pengaruhnya melangkaui dunia mereka sendiri.

Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi adalah antara contoh paling terkenal. Sumbangannya dalam matematik, khususnya perkembangan algebra, memberikan kesan yang sangat besar kepada perkembangan ilmu matematik selepasnya. Istilah ‘algorithm’ yang digunakan dalam dunia pengkomputeran moden juga berkait dengan bentuk Latin namanya. Bayangkan, suatu istilah yang begitu penting dalam teknologi hari ini mempunyai hubungan sejarah dengan seorang ilmuwan Muslim yang hidup lebih seribu tahun lalu.

Generasi Muslim hari ini perlu kembali membina keyakinan kecemerlangan ilmu sebagai sebahagian daripada warisan mereka.

Oleh itu, jangan sampai seorang Muslim mempunyai telefon pintar yang mahal, tetapi miskin pengetahuan. Jangan sampai kita mempunyai capaian Internet yang sangat pantas, tetapi tidak tahu membezakan sumber yang sahih dengan maklumat palsu. Jangan sampai kecerdasan buatan digunakan setiap hari, tetapi kita tidak memahami kekuatan, batasan dan etikanya. Lebih membimbangkan jika teknologi hanya digunakan untuk hiburan berjam-jam.

Kita memerlukan lebih ramai Muslim yang mampu menghasilkan kandungan berkualiti, membangunkan aplikasi, menguasai data, menjalankan penyelidikan, menghasilkan inovasi dan menyelesaikan masalah masyarakat melalui teknologi. Semangat ini lebih hampir dengan tradisi ilmuwan Islam terdahulu berbanding budaya sekadar menikmati hasil ciptaan orang lain.

Umat Islam pernah berada di hadapan kerana mereka mempunyai keberanian untuk belajar daripada pelbagai sumber, mengembangkan pengetahuan dan menghasilkan sesuatu yang baharu. Maka teruslah belajar. Kuasai kemahiran baharu. Fahami teknologi. Semak maklumat sebelum mempercayainya. Gunakan kemudahan digital untuk membina diri dan masyarakat.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top