asmaini@mediaprima.com.my
SUATU ketika dahulu, barah serviks atau barah pangkal rahim dianggap sebagai barah yang dihidapi oleh wanita di usia emas.
Namun, data terkini memberi realiti yang berbeza kerana barah pangkal rahim bukan lagi penyakit yang hanya menyerang wanita berusia.
Ia kini adalah barah keempat paling lazim dalam kalangan wanita di seluruh dunia.
Di Malaysia, barah pangkal rahim berada di kedudukan ketiga antara barah paling kerap berlaku dalam kalangan wanita.
Lebih daripada 90 peratus kes barah ini dikaitkan dengan jangkitan virus ‘Human Papillomavirus’ (HPV), virus biasa yang berjangkit melalui sentuhan kulit ke kulit, termasuk aktiviti seksual.
Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa enam daripada 10 wanita masih tidak menjalani ujian ‘pap smear’ dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Keadaan itu menyebabkan banyak kes gagal dikesan pada peringkat awal yang sepatutnya boleh dicegah.
Meskipun lebih separuh daripada kes berlaku dalam wanita berusia 40 hingga 59 tahun, namun pakar perubatan melihat peningkatan kepada jumlah pesakit lebih muda, berusia lewat 20-an yang didiagnosis pada tahap lanjut.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Andi Anggeriana Andi Asri berkata, barah pangkal rahim boleh dicegah, namun ramai wanita mula mendapatkan rawatan pada tahap yang sudah terlewat.
Kata Dr Andi, kebanyakan pesakitnya yang muda dan menghidap barah terbabit tidak pernah melakukan ujian pap smear sebelum didiagnosis.
“Mereka tidak menyangka bahawa mereka juga berisiko. Terdapat juga salah tanggapan bahawa barah pangkal rahim hanya menyerang wanita berusia atau yang sudah berkahwin.
“Hakikatnya, virus HPV, yang menjadi punca kepada lebih 90 peratus kes barah pangkal rahim, boleh dijangkiti seawal hubungan seksual pertama, walaupun hanya dengan seorang pasangan,” katanya.
Dalam pada itu, wanita muda semakin ramai didiagnosis dengan barah pangkal rahim disebabkan oleh faktor kelewatan saringan dan kesedaran yang rendah terhadap risiko-risiko awal.
Wanita dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an khususnya, sering mengutamakan pendidikan, kerjaya dan komitmen keluarga berbanding pemeriksaan kesihatan rutin.
Ada juga mengelakkan saringan akibat rasa tidak selesa atau stigma yang menyelubungi berkaitan pemeriksaan ginekologi.
Walaupun kebanyakan jangkitan HPV pulih secara semula jadi, strain berisiko tinggi seperti HPV 16 dan 18 boleh menyebabkan perubahan selular secara senyap yang mungkin berkembang menjadi barah jika tidak dikesan.
Mengulas lanjut, Dr Andi berkata, aplikasi penjejak haid dan jam tangan pintar kini menjadi alat popular untuk memantau kitaran haid dan kesihatan secara umum.
Namun, beliau mengingatkan bahawa alatan itu tidak seharusnya dijadikan pengganti untuk diagnosis perubatan.
Katanya, walaupun teknologi itu dapat membantu mengesan perubahan seperti kitaran haid yang tidak teratur atau keletihan berterusan, ia hanya bertujuan meningkatkan kesedaran, bukannya menggantikan saringan klinikal.
“Aplikasi boleh membantu mengenal pasti kelainan, tetapi ia tidak dapat memberitahu apa yang tidak kena.
“Dalam isu ini, ujian pap smear atau ujian HPV tetap menjadi ‘gold standard’ untuk mengesan keabnormalan pangkal rahim pada peringkat awal,” katanya.
Menurut beliau lagi, vaksin HPV adalah antara cara paling berkesan untuk mencegah barah pangkal rahim.
Program sekolah di negara ini juga menawarkan vaksin HPV secara percuma kepada remaja perempuan berusia 13 tahun.
Begitupun, kata Dr Andi, kadar pengambilan remaja yang lebih tua dan dewasa masih tidak konsisten.
“Walaupun anda berada di usia 20-an atau awal 30-an, vaksin ini masih boleh mengurangkan risiko. Ia tidak melindungi daripada semua jenis HPV, tetapi ia adalah lapisan perlindungan yang kuat,” katanya.
Sementara itu, Dr Andi berkata, pengesanan awal bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah membantu mengekalkan kesuburan.
Kata beliau, diagnosis pada tahap lewat sering memerlukan kemoterapi, radiasi atau pembedahan kompleks yang mempunyai kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal dan emosi.
Katanya, jika ia dikesan pada tahap awal, rahim mungkin tidak perlu dibuang dan dalam sesetengah kes, wanita boleh hamil secara normal selepas itu.
“Sekiranya ada perubahan dalam kitaran haid, lakukan pemeriksaan awal dan jika anda berasa tidak selesa dengan seorang doktor, carilah doktor lain.
“Ramai wanita yang mengalami pendarahan tidak normal sebenarnya bebas daripada barah, tetapi ia hanya dapat diketahui melalui pemeriksaan.
“Barah pangkal rahim tidak akan menunggu anda, jadi jangan bertangguh kerana kesihatan terlalu penting untuk diabaikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




