am@hmetro.com.my
Shah Alam: Selangor komited mempersiapkan negeri ke arah sektor nuklear dengan memperkasakan pembangunan bakat tenaga nuklear di peringkat antarabangsa menerusi penghantaran kumpulan pertama tiga penuntut tajaan ke China awal bulan depan.
Tiga anak Selangor yang menjadi kumpulan perintis ini akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Nuklear di Harbin Engineering University, China bagi tempoh September 2026 hingga 2029.
Mereka ialah Muhammad Amani Mazlan, 29; Aiman Syakirah Ahmad Jaffar, 24 dan Hafiz Syahmi Faznee Aniff, 25.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif di bawah program baharu yang diumumkan dalam pembentangan belanjawan Selangor tahun lalu.
“Tiga individu terpilih ini mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang kukuh, selain bertuah kerana menerima tajaan pengajian sepenuhnya daripada pihak negara China.
“Pihak kerajaan negeri pula memberikan pembiayaan tambahan bagi menampung kos sara hidup mereka, termasuk tiket penerbangan pulang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Perjumpaan Menteri Besar Selangor Bersama Penerima Tajaan Program Latihan Tenaga Nuklear di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan Amirudin berkata, setakat ini seramai 100 orang sudah mendaftarkan diri untuk menyertai program tajaan ini.
“Bagi kumpulan seterusnya, seramai 22 orang lagi (dijangka dihantar) mungkin pada tahun depan.
“Kita akan teliti (setiap calon), temuduga mereka sebab tempat terhad, dia bergantung daripada tawaran biasiswa yang dikeluarkan oleh negara China.
“(Penghantaran) Ini akan dibuat setiap tahun, kita tengok kepada kesesuaian, kita tengok target, sasaran dan juga tengok respon.
“Sebab ini kumpulan pertama, kita hendak tengok responnya, keadaannya,” katanya.
Amirudin turut menggalakkan pelajar berkenaan menyertai industri nuklear di China terlebih dahulu bagi menimba pengalaman berikutan Selangor masih belum mempunyai kepakaran domestik atau syarikat yang terbabit secara langsung.
“Kita tidak ada syarikat yang terbabit secara langsung… mungkin ada agensi kerajaan yang terbabit tapi masih lagi dalam bidang eksplorasi.
“Saya tengok pada keadaan (untuk pelajar bekerja di sana)…. sekiranya mereka kerja dahulu di sana, bila mereka pulang kita sudah bersedia.
“Tapi kalau kita sudah siap sedia (dalam bidang nuklear), kita akan panggil mereka untuk terbabit (kerja) dengan kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

