Tiga dalang Program Rekalibrasi ditahan

Tiga dalang Program Rekalibrasi ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki dalang sindiket ejen Program Rekalibrasi, ditahan dalam serbuan di dua premis di Jalan Ipoh, di sini.

Operasi yang dijalankan pada 4.30 petang semalam, susulan daripada ‘Operasi Hack’, yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata operasi itu bertujuan mengesan saki-baki syarikat yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs)’, yang didalangi seorang individu bergelar Datuk yang sudah ditahan.

“Dalam operasi ini, seorang lelaki warga Pakistan berumur 39 tahun yang juga dalang sindiket ditahan. Turut ditahan seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 24 dan 20 tahun, kerana bekerjasama dan melindungi lelaki Pakistan itu.

“Pemeriksaan awal turut mendapati lelaki Pakistan berkenaan menggunakan PLKS palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 81 pasport negara Pakistan, Bangladesh dan Vietnam serta wang tunai berjumlah RM15,950, dirampas hasil pemeriksaan di premis sindiket beroperasi.

“Hasil siasatan mendapati, premis berkenaan dijadikan sebagai pusat mengumpul pasport daripada warga asing, yang melakukan kesalahan mengikut akta dan peraturan Imigresen untuk didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, dengan bayaran di antara RM2,000 ke RM3,000 seorang,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi dipercayai sejak tahun lalu, sindiket itu dianggarkan membuat kutipan dalam lingkungan RM243,000.

“Modus operandi sindiket ini ialah lelaki Pakistan itu mendapatkan pelanggan dari kalangan warganegara Pakistan, terutama mereka yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan Imigresen dan ditawarkan untuk menyertai Program Rekalibrasi.

“Semakan awal ke atas pasport yang dirampas di tempat kejadian turut menemui pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’, yang ditumpaskan pada 6 April lalu,” katanya.

Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Katanya, orang ramai terutamanya warga asing dan majikan mestilah berurusan terus dengan Imigresen, dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan Program Rekalibrasi. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top