Tiga kali ganda lagi tinggi dari Eiffel

Tiga kali ganda lagi tinggi dari Eiffel

Bayangkan tiga Menara Eiffel disusun di atas satu sama lain dan kemudian ditambah bangunan 40 tingkat. Itu anggaran ketinggian Menara Jeddah apabila ia siap pada 2028. Tingginya lebih satu kilometer (km) sekali gus menjadi latar langit Arab Saudi di sepanjang pantai Laut Merah.

Menara ini bukan sebarang bangunan pencakar langit. Ia percubaan serius untuk membina struktur setinggi kilometer, satu peristiwa penting yang diimpikan oleh jurutera selama beberapa dekad.

Apabila selesai dibina, ia akan mengatasi Burj Khalifa di Dubai (0.828 km) sebagai bangunan tertinggi di dunia dengan perbezaan kira-kira 180 meter (m).

Menurut beberapa laporan termasuk daripada Jeddah Economic Company (JEC) (pemaju) dan kontrak yang diberikan kepada Saudi Binladin Group (SBG) pada 2011, kontrak pembinaan awalnya bernilai AS$1.23 bilion (kira-kira RM5.1 bilion). Angka itu mungkin boleh meningkat antara AS$1.9 (RM8.03 bilion) dan bilion dan AS$2.1 bilion (RM8.87 bilion) selepas pembinaannya dihentikan selama beberapa tahun.

Menurut portal Interesting Engineering, pada asalnya menara ini dikenali sebagai Kingdom Tower. Ia sebagai lambang pemodenan dan transformasi ekonomi Arab Saudi.

Adrian Smith dari firma Adrian Smith + Gordon Hill Architecture ialah pereka utama untuk projek ini. Beliau juga mereka bentuk Burj Khalifa, namun pada masa itu berkhidmat untuk firma berlainan.

Visi Smith untuk Menara Jeddah adalah berdasarkan alam semula jadi. Bentuk menara itu menyerupai pelepah berlipat dari tumbuhan padang pasir, dengan profil langsing, tidak simetri secara halus yang membangkitkan sekumpulan daun yang menjulang dari tanah.

Menurut portal sama, struktur asas menara ini iaitu tiga kelopak yang disusun dalam bentuk Y bukan hanya untuk tujuan estetik. Ia direka bentuk untuk kecekapan aerodinamik, penting untuk struktur dalam menghadapi angin kencang pada bangunan dengan ketinggian berkenaan.

Namun, projek mega yang dimulakan pada 2013 itu dihentikan antara 2018 hingga 2023. Ia berikutan isu dihadapi kontraktor utama. Pembinaan disambung semula pada Januari tahun ini. Kumpulan Binladin Saudi, Dar Al-Handasah, dan Turner Construction mengambil alih projek itu dengan membawa kepakaran dan sumber baharu.

Setakat September 2025, pembinaan menara itu mencapai tingkat 70 dengan kru menyiapkan kira-kira satu tingkat setiap empat hari – kadar yang meletakkan ia berada pada landasan tepat untuk projek itu siap pada 2028.

Menurut portal itu, asas menara ini sahaja sudah menjadi satu keajaiban kejuruteraan dan cabaran besar. Sistem ‘rakit cerucuk hibrid’ yang menampilkan 270 cerucuk dengan diameter antara 1.5 hingga 1.8 m, memanjang sehingga 105 m.

Apabila siap, menara ini akan menempatkan hotel mewah Four Seasons yang menduduki tingkat 19 hingga 27, menawarkan 200 bilik dengan pemandangan Laut Merah.

Pangsapuri kediaman premium dan kondominium mewah akan memenuhi kebanyakan tingkat, manakala ruang pejabat Kelas A direka untuk menarik perniagaan antarabangsa.

Tetapi tarikan utamanya adalah dek pemerhatian tertinggi di dunia pada 644 m, memberikan pemandangan panoramik 360 darjah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top