Kuala Lumpur: Tiga laporan polis dibuat hari ini berhubung kenyataan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia pada 2014.
Laporan itu dibuat oleh Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Tun Razak, V Jonathan, Ketua Wanita PKR Cabang Bandar Tun Razak, Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak, Amarul Hisham Jalil di Balai Polis Cheras di sini.
Jonathan berkata laporan itu dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan semalam yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.
Beliau berkata Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin PAS pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014, dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu.
“Antara yang dikatakan hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mustafa Ali bersama-sama Duta Amerika Syarikat ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.
Jonathan berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan laporan berkenaan adalah bagi memastikan sebarang dakwaan berkaitan cubaan menggulingkan atau melemahkan kerajaan serta sistem demokrasi berparlimen melalui cara yang tidak berperlembagaan dapat disiasat mengikut lunas undang-undang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut pada kira-kira 5 petang.
“Saya sedang menyemak jumlah laporan serta balai polis tempat laporan berkenaan dibuat.
“Laporan tersebut bagaimanapun akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
