Tiga rentung: Nurul patah balik demi selamatkan nenek, bapa saudara

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Dia sudah berjaya menyelamatkan diri, namun menyedari nenek dan bapa saudaranya masih berada di dalam rumah menyebabkan Nurul Asyiqin Alinor nekad meredah api untuk menyelamatkan mereka.

Namun usaha terakhir wanita berusia 29 tahun itu tidak berjaya apabila api semakin marak sekali gus memerangkap ketiga-tiganya di dalam kediaman berkeluasan 144 meter persegi yang sedang terbakar di Kampung Darau, Menggatal.

Lebih menyayat hati apabila tiga sekeluarga itu ditemui tidak lagi bernyawa oleh pasukan bomba dan penyelamat selepas berjaya mengawal api pada 2.10 pagi tadi.

Menurut penduduk kampung, Nurul Asyiqin pada awalnya sudah keluar dari rumah yang terbakar itu tetapi dia dipercayai berpatah balik kerana tidak melihat nenek, Loupin Adow, 67, dan bapa saudara, Azman Maduin, 50.

Sementara suami Nurul yang berusia 34 tahun pula mengalami kecederaan melecur itu dan dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 1.43 pagi dan sepasukan 13 anggota melaksana operasi pemadaman dan menyelamat.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 2.10 pagi dan pemeriksaan menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan rentung.

“Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top