am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Tiga responden termasuk calon Parti Warisan (Warisan) yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Yusri Pungut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 akan memfailkan bantahan awal bagi mencabar petisyen pilihan raya di kawasan berkenaan.
Dua lagi responden ialah Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi Sindumin, Abdul Karim AM Zahari dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hakim Mahkamah Tinggi, Dean Wayne Daly dalam prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom di sini, mengarahkan ketiga-tiga responden memfailkan bantahan awal mereka menjelang 5 Februari depan.
Mahkamah seterusnya mengarahkan semua pihak untuk memfailkan dan menyerahkan hujah bertulis mengenai bantahan awal itu pada atau sebelum 12 Februari, manakala pendengaran lisan ditetapkan pada 16 Februari melalui Zoom.
Pada 26 Disember tahun lalu, seorang pengundi, Wendey Agong Baruh, 34, memfailkan petisyen pilihan raya bagi memohon untuk membatalkan keputusan PRN Sabah ke-17 bagi kerusi Sindumin yang dimenangi Yusri.
Beliau menamakan RO, SPR dan Yusri masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Dalam petisyen itu, pemohon mendakwa pada 23 Disember tahun lalu, beliau menerima video daripada seorang wanita yang menunjukkan seorang pegawai SPR memakai jaket berlabel ‘PETUGAS’ didakwa meronyokkan kertas undi semasa pengiraan undi.
Video itu didakwa menunjukkan pegawai berkenaan menyembunyikan kertas undi yang dironyok di antara peti undi dan bekas putih bertanda ‘UNDI BELUM DIKIRA’.
Pemohon berkata, kertas itu dikenal pasti sebagai kertas undi berdasarkan warna jingga yang digunakan.
Katanya, tindakan meronyokkan kertas undi adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melarang tindakan memalsukan atau memusnahkan kertas undi secara penipuan.
Beliau berhujah bahawa tindakan sedemikian boleh menjejaskan jumlah keseluruhan undi.
Oleh sebab itu, beliau menegaskan bahawa keputusan pilihan raya terjejas dan kemenangan Yusri perlu diisytiharkan terbatal di bawah Seksyen 32(b) akta yang sama.
Wendey memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pilihan raya negeri Sindumin yang diadakan pada 29 November adalah terbatal; Yusri tidak dipilih secara sah; kos mahkamah; dan sebarang relief lain yang difikirkan sesuai.
Pada PRN Sabah Ke-17 baru-baru ini, Yusri yang juga muka baharu Warisan memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 362 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Datuk Yamani Hafez Musa dalam saingan 10 penjuru.
Calon lain termasuk Abdillah Jalaf @ Dila (Bebas) dengan 2,570 undi; Moktar Matussin (Star) 1,469; Sani Miasin (KDM) 875; Dayang Syafiqah (PN) 705; Markus Buas (Parti Impian Sabah) 293; Wilson Liou (Bebas) 54; Kanafia Bujang (Parti Kebangsaan Sabah) 37; dan Ibrahim Tuah (Bebas) 30.
Pemohon diwakili peguam Ag Amli Noraufe Ag Nohin dan Norlaily Anuar, manakala Yusri yang juga seorang peguam mewakili dirinya sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




