Tiga wanita Malaysia ditahan bawa dadah ketika bercuti di Indonesia

Tiga wanita Malaysia ditahan bawa dadah ketika bercuti di Indonesia

PETALING JAYA: Tiga lagi rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Isnin lalu.

Penahanan itu berlaku kira-kira lima hari selepas seorang juruterbang warga Malaysia turut ditahan di lapangan terbang yang sama atas dakwaan cuba menyeludup dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga wanita terbabit dan pihaknya juga sudah dimaklumkan berhubung perkara itu oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Katanya, tiga wanita berkenaan berasal dari Sabah berusia 30 dan 39 tahun dan mereka datang ke negara berkenaan untuk bercuti.

“Hasil semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dadah.

“Mereka ke sana untuk bercuti dan dadah yang dirampas itu dipercayai lebih kepada untuk kegunaan sendiri dan jumlahnya kecil,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, tiga suspek wanita itu dipercayai tiada kaitan dengan sindiket membabitkan penahanan seorang lelaki Malaysia di Surabaya, sebelum ini.

Terdahulu, CNN Indonesia melaporkan, pegawai Kastam Lapangan Terbang Soekarno-Hatta menggagalkan cubaan penyeludupan dadah yang didakwa dilakukan tiga wanita penumpang pesawat.

Tiga wanita warga Malaysia itu dikesan pegawai cuba membawa masuk barang terlarang berkenaan dengan menyembunyikannya pada barangan bawaan termasuk dalam kasut.

Kejadian itu berlaku di Terminal 2F Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Isnin dan pesawat yang membawa tiga penumpang wanita itu datang dari Kota Kinabalu.

Dadah berkenaan dipercayai dibawa dalam beg peralatan mandian dalam bagasi, dalam dompet, dalam bungkusan ubat, poket jaket, dan kasut yang dipakai.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas terdiri 2.8 gram (g) disyaki kokain selain 6.6g pil disyaki MDMA, 1.8g serbuk disyaki ketamin, 16.9g tembakau disyaki bercampur ketamin.

Selain itu, turut dirampas 1.4 g disyaki kokain, satu unit kartrij disyaki mengandungi ketamin dengan pihak berkuasa juga sudah menjalankan ujian sampel terhadap barangan yang diperiksa itu. – UTUSAN

Scroll to Top