Kuala Lumpur: Tiket bagi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, dari 6 hingga 11 Januari depan akan mula dijual pada 3 November ini.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, peminat yang mahu mendapatkan tiket lebih awal boleh merebut peluang melalui promosi pembelian awal (Early Bird) yang menawarkan diskaun khas bermula pukul 2 petang menerusi laman web www.ticket2u.com.my.
Promosi berkenaan akan berlangsung hingga 30 Nov.
Harga promosi meliputi semua tiket harian, manakala pas musim (season pass) bagi menyaksikan aksi sepanjang minggu ditawarkan pada harga antara RM282 hingga RM2,000 bergantung kepada kategori tempat duduk.
Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata sebagai usaha memastikan kejohanan itu terus mudah diakses semua lapisan peminat, harga tiket dikekalkan hampir sama seperti tahun ini sebagai tanda penghargaan BAM terhadap sokongan padu peminat tempatan.
“Kami menyaksikan permintaan tinggi bagi kategori popular pada edisi sebelum ini yang habis dijual dalam tempoh singkat selepas jualan dibuka. Justeru, kami menggesa peminat supaya tidak melepaskan peluang untuk membeli tiket lebih awal,” katanya.
Sebagai antara empat kejohanan Super 1000 dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Terbuka Malaysia kekal sebagai pentas penting yang menghimpunkan pemain terbaik dunia serta menarik ribuan penonton setiap tahun.
Malaysia bakal mempertaruhkan juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei; bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; serta naib juara dunia 2024, Pearly Tan-M. Thinaah, yang akan mengetuai cabaran negara pada kejohanan berprestij itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




