Tindakan tegas elak insiden tapak bina berulang

Insiden kren terjatuh di atas sebuah kereta di tapak binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Persiaran Alam Damai di ibu negara baru-baru ini menimbulkan persoalan apakah pihak pemaju dan kontraktor terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam kejadian itu, dua pekerja maut kerana terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang lagi maut akibat tersepit pada struktur besi, manakala seorang pemandu kereta cedera parah.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, ketika mengulas insiden berkenaan turut mempersoalkan mengapa jalan tidak ditutup ketika kerja pengalihan struktur dijalankan. Beliau berkata, pada kebiasaannya jalan akan ditutup ketika kerja pengalihan struktur atau peralatan besar di tapak pembinaan dijalankan. Ini antara SOP yang wajib dipatuhi, tetapi seakan diabaikan.

Justeru, tindakan pihaknya untuk menyiasat sama ada kontraktor terbabit pernah disenarai hitam sebelum ini amat dialu-alukan. Ia penting bagi memastikan kejadian sama tidak berulang serta keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Sememangnya setiap kali memandu di jalan yang terbabit dengan pembinaan lebuh raya bertingkat, sesetengah pemandu kadangkala berdebar-debar apabila melihat kerja pemasangan konkrit dan tiang dijalankan di bahagian atas laluan.

Ditambah pula jika berlaku kesesakan dan kenderaan berhenti betul-betul di bawah laluan pembinaan yang sedang giat dijalankan. Sesiapa sahaja pasti tidak selesa berhadapan dengan situasi terbabit.

Kebimbangan dan kerisauan itu ada asasnya kerana sebelum ini pun sudah beberapa kali berlaku kes kemalangan di tapak bina lebuh raya bertingkat.

Tahun lalu, seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya ditimpa konkrit daripada struktur pembinaan lebuh raya sama yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Pada 3 Mac lalu pula, lima orang terperangkap dalam sebuah van kilang yang sedang dalam perjalanan di Lebuhraya MRR2 dekat Bandar Tasik Selatan ketika sebahagian jejambat dalam pembinaan jatuh di atasnya akibat dilanggar treler yang membawa jentera berat.

Dua wanita terbunuh sementara tiga lagi cedera parah dalam kejadian itu.

Susulan kejadian demi kejadian yang berlaku itu, maka diharapkan satu tindakan tegas serta hukuman setimpal dikenakan terhadap pihak pemaju atau kontraktor yang cuai dalam menjaga keselamatan pekerja termasuk orang awam yang terdedah kepada risiko.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 juga menyatakan secara jelas tanggungjawab pihak pemilik industri bukan sahaja ke atas pekerja dan kontraktor, tetapi juga kepada orang awam.

Selanjutnya, langkah keselamatan membabitkan pembinaan lebuh raya bertingkat perlu dikaji semula bagi mengelak lebih banyak insiden tidak diingini berlaku.

Pihak berkaitan seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pemaju serta kontraktor berdaftar mungkin boleh duduk semeja merangka pelan keselamatan lebih efisien sesuai dengan peredaran zaman.

Mohd Salleh Osman,
Putrajaya

© New Straits Times Press (M) Bhd