BULAN Muharam kembali menyapa kita umat Islam dengan makna yang begitu mendalam.
Ia bukan sekadar permulaan takwim Islam yang baharu, tapi sebenarnya adalah ajakan untuk kita merenung dan memperbaharui diri.
Kita tahu peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah menjadi tonggak sejarah, tapi di sebalik itu terselit nilai-nilai yang sangat penting seperti perubahan spiritual, pengorbanan dan keberanian menghadapi cabaran hidup demi kebenaran dan keimanan.
Dalam era moden yang serba mencabar ini, hijrah tidak lagi bermaksud berpindah tempat secara fizikal semata-mata, tapi ia menuntut satu transformasi dalaman terutamanya dalam menghadapi fenomena yang kita panggil jahiliah moden.
Jahiliah moden gugat rohani
Jahiliah moden adalah realiti yang menggugat rohani kita. Era dahulu, jahiliah merujuk kepada kebodohan, penindasan dan penyembahan berhala, tapi hari ini jahiliah itu sudah berubah wajah.
Ia menyusup masuk ke dalam jiwa kita dalam bentuk yang lebih halus yang kadang-kadang sukar untuk kita sedar seperti ketagihan media sosial, budaya hedonisme yang dianggap biasa, penyebaran fitnah digital dan gaya hidup tanpa sempadan moral.
Ramai antara kita yang terperangkap dalam dunia maya sehingga terlupa tanggungjawab spiritual dan sosial kita.
Pernah tak kita terfikir, peranan institusi keagamaan seperti masjid perlu dihidupkan kembali? Betapa pentingnya masjid dijadikan pusat pembangunan insan untuk menangani keruntuhan akhlak digital yang semakin menular dalam kalangan semua generasi terutamanya golongan muda.

PERBUATAN jahiliah kini menyusup masuk ke dalam jiwa dalam bentuk yang lebih halus seperti ketagihan media sosial, budaya hedonisme yang dianggap biasa, penyebaran fitnah digital dan gaya hidup tanpa sempadan moral. Foto Canva
Masjid bukan saja tempat menunaikan solat, tapi seharusnya dijadikan pusat komuniti yang relevan dengan cabaran era digital hari ini.
Hijrah jiwa hijrah sebenar
Hijrah merupakan seruan bagi perubahan diri kita. Hijrah yang sebenar adalah hijrah jiwa.
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh ALLAH.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Ini jelas menunjukkan hijrah dalam Islam ini luas maknanya. Ia merangkumi perubahan niat, pemikiran, sikap dan amalan kita.
Dalam konteks dunia moden yang penuh cabaran hari ini, hijrah perlu diterjemahkan kepada perubahan dalaman yang melibatkan keseluruhan aspek diri manusia seperti intelektual, emosi dan spiritual.
Hijrah diri hari ini bukan lagi sekadar memindahkan tubuh, tetapi memindahkan cara fikir, sikap dan hala tuju kehidupan.
Pertama sekali, aspek intelektual perlu diberi perhatian utama. Ramai umat Islam hari ini masih terperangkap dalam cara fikir yang jumud dan sempit.
Mereka enggan membuka ruang perbincangan, menolak pandangan baharu dan berpegang kepada adat atau fahaman lama tanpa memahami konteks semasa.
Hijrah dalam aspek ini bermaksud kita perlu meninggalkan pola fikir tertutup dan menggantinya dengan pemikiran terbuka yang berlandaskan ilmu.
Jiwa ilmu mestilah disuburkan agar umat Islam mampu memahami realiti semasa dengan kebijaksanaan tanpa meninggalkan prinsip Islam yang syumul.
Selain itu, hijrah emosi juga tidak kurang pentingnya. Kita hidup dalam zaman di mana tekanan hidup, kecaman media sosial dan persaingan yang sengit boleh menjejaskan kesihatan mental dan emosi.
Ramai yang menyimpan amarah, dendam dan cemburu lalu menjadi racun yang membebankan jiwa. Maka, hijrah dalam aspek ini bermakna melepaskan beban emosi negatif yang tidak membawa faedah. Islam mengajar kita erti sabar, memaafkan dan berlapang dada.
Apabila emosi kita stabil, kita lebih mudah untuk menerima kebenaran, berinteraksi secara harmoni dan menjalani hidup dengan lebih tenang.
Sentiasa jaga hubungan dengan ALLAH
Seterusnya, aspek yang paling utama dalam hijrah diri ialah spiritual, iaitu hubungan kita dengan ALLAH SWT.
Dunia moden telah melalaikan ramai orang kerana mereka lebih sibuk dengan telefon pintar berbanding solat lima waktu, lebih gemar mengejar hiburan daripada mendekati al-Quran.

DALAM era moden yang penuh dengan kesibukan, sediakan masa untuk beribadah dan mengingati ALLAH. Foto Camn
Oleh itu, hijrah spiritual bermaksud meninggalkan kelalaian dan kembali merapatkan diri dengan ALLAH.
Solat, zikir, doa dan tadabbur al-Quran adalah makanan kepada jiwa. Tanpa makanan ini, jiwa akan menjadi gersang, kosong dan mudah terpengaruh dengan arus negatif zaman moden.
Kesemua aspek ini perlulah digabungkan dalam satu proses hijrah diri yang menyeluruh. Barulah kita mampu membentuk jati diri Muslim yang kuat bukan sahaja berilmu dan berakhlak, tetapi juga memiliki kekuatan dalaman untuk menepis godaan dunia moden.
Umat yang memiliki jati diri yang kukuh akan mampu menghadapi cabaran zaman dengan tenang, tidak mudah goyah dan mampu menjadi contoh kepada orang lain.
Sebagaimana Rasulullah SAW telah menunjukkan jalan hijrah sebagai satu bentuk pembaharuan dan penyucian jiwa, kita juga perlu mengambil semangat itu dalam kehidupan kita hari ini.
Hijrah bukan hanya kisah semalam, tetapi misi sepanjang hayat. Ia bermula dengan kesedaran, diteruskan dengan usaha dan dikuatkan dengan keikhlasan. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang berhijrah ke arah kebaikan dan mencapai keredhaan Ilahi.
Ingatlah, hijrah diri bukan hanya kita laksanakan setahun sekali, tetapi ia adalah perjalanan seumur hidup yang perlu kita laksanakan. Bulan Muharam hadir sebagai peringatan bahawa perubahan itu adalah suatu keperluan dan ia adalah sunnatullah.
Setiap orang daripada kita ada hala tuju yang sama iaitu mencapai reda Ilahi dengan meninggalkan maksiat, kebodohan dan keangkuhan diri.
Semoga semangat hijrah pada tahun ini tidak hanya kita raikan dengan perarakan atau slogan semata-mata, tapi dengan azam yang kuat untuk benar-benar berubah daripada kelalaian kepada kesedaran, daripada kejahilan kepada keilmuan dan daripada kehinaan kepada kemuliaan.
***ASHLAH IBRAHIM merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Asasi, Management and Science University (MSU)