saufi@mediaprima.com.my
TEKNOLOGI Internet Kebendaan (IoT) semakin popular dan membawa perubahan besar dalam cara pengguna menjalani kehidupan seharian.
Namun, penggunaan IoT tidak terlepas daripada cabaran keselamatan yang perlu diberi perhatian.
Penggodam lebih tertarik untuk melaksanakan serangan terhadap perkakas IoT kerana ia mengumpul data pengguna sekali gus boleh dimanipulasi pihak ketiga.
Pengguna perlu lebih cakna berhubung perkakas IoT mereka dan sentiasa melaksanakan kemas kini kerentanan semasa bagi mengelakkan dieksploitasi penggodam.
Kerahsiaan data
Peranti IoT sering mengumpul data peribadi pengguna. Sekiranya data ini tidak disimpan atau dihantar dengan selamat, ia boleh dimanipulasi pihak yang berniat jahat.
Serangan perisian tebusan (Ransomware)
Peranti IoT boleh menjadi sasaran serangan Ransomware di mana penggodam menyekat akses kepada peranti atau data sehingga tebusan dibayar.
Kata laluan lemah
Ramai pengguna menggunakan kata laluan lalai atau mudah diteka pada peranti IoT, menjadikannya mudah dieksploitasi penggodam.
Kemas kini perisian yang tidak konsisten
Peranti IoT tidak menerima kemas kini perisian yang kerap, menyebabkan mereka terdedah kepada kelemahan keselamatan.
Serangan Botnet
Peranti IoT yang tidak dilindungi boleh dimanipulasi oleh penggodam untuk menjadi sebahagian daripada Botnet yang digunakan dalam serangan DDoS (Distributed Denial of Service).
Kekurangan penyulitan data
Sesetengah peranti IoT tidak menggunakan penyulitan data yang mencukupi, membolehkan penggodam mencegat komunikasi sensitif antara peranti.
Privasi pengguna
Data pengguna yang sentiasa dikumpul terdapat risiko bahawa data ini boleh disalah guna pihak ketiga atau dijual tanpa kebenaran.
Pengesahan yang lemah
Sistem pengesahan yang tidak mencukupi pada peranti IoT boleh menyebabkan akses tidak sah oleh pihak luar.
Integrasi dengan rangkaian lain
Apabila peranti IoT disambungkan kepada rangkaian rumah atau kerja, kelemahan pada peranti boleh digunakan untuk menyerang sistem lain dalam rangkaian itu.
Kesedaran keselamatan yang rendah
Ramai pengguna tidak menyedari risiko keselamatan yang berkaitan dengan IoT dan tidak mengambil langkah pencegahan seperti menggunakan firewall atau VPN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




