surayaroslan@mediaprima.com.my
Pagi menguruskan anak ke sekolah, siang bekerja mencari rezeki, petang pula bergegas menjenguk ibu bapa yang semakin uzur.
Begitu rutin harian ramai wanita hari ini yang tergolong dalam kelompok ‘generasi sandwic’ iaitu golongan yang perlu menjaga dua generasi serentak iaitu anak-anak dan ibu bapa yang semakin berusia.Bagi kebanyakan wanita, tanggungjawab itu dilakukan atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab keluarga.
Namun, dalam diam, ramai yang berdepan tekanan kewangan, keletihan emosi dan masalah kesihatan akibat memikul beban yang terlalu berat.
Kos sara hidup yang semakin meningkat menjadikan cabaran lebih besar.
Selain perlu menanggung perbelanjaan anak seperti pendidikan, makanan dan keperluan harian, mereka juga perlu membantu ibu bapa dari segi perubatan, penjagaan atau kos kehidupan.
Tidak kurang juga yang terpaksa menggunakan simpanan sendiri atau menangguhkan perancangan kewangan masa depan demi memastikan keperluan keluarga dipenuhi.
Pada masa sama, kesihatan mental sering menjadi mangsa keadaan.
Ramai wanita berasa bersalah jika tidak dapat memenuhi harapan anak-anak atau ibu bapa, menyebabkan mereka menyimpan tekanan sendirian.
Keadaan itu boleh membawa kepada keletihan melampau (burnout), gangguan tidur, keresahan dan kemurungan jika tidak ditangani dengan baik.
Hakikatnya, menjaga keluarga tidak bermakna seseorang perlu mengorbankan diri sendiri sepenuhnya.
Wanita generasi sandwic juga memerlukan ruang untuk menjaga kesihatan fizikal, emosi dan kewangan mereka.
Tip mengurus kehidupan sebagai generasi sandwic
1. Belajar berkongsi tanggungjawab
Jangan memikul semuanya seorang diri, babitkan pasangan, adik-beradik atau ahli keluarga lain dalam urusan penjagaan ibu bapa dan anak-anak.
2. Rancang kewangan lebih awal
Sediakan bajet khusus untuk keperluan ibu bapa dan anak-anak. Elakkan menggunakan simpanan kecemasan tanpa perancangan yang jelas.
3. Luangkan masa untuk diri sendiri
Walaupun hanya 15 hingga 30 minit sehari, lakukan aktiviti yang membantu mengurangkan tekanan seperti berjalan, membaca atau bersenam.
4. Jangan takut meminta bantuan
Jika berasa terlalu tertekan, dapatkan sokongan daripada keluarga, rakan atau kaunselor profesional.
5. Utamakan kesihatan sendiri
Pemeriksaan kesihatan berkala, tidur yang mencukupi dan pemakanan seimbang penting supaya anda terus mempunyai tenaga untuk menjaga orang tersayang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




