Menjejak harapan di hutan tebal

Menjejak harapan di hutan tebal

surayaroslan@mediaprima.com.my

HUTAN tebal, cerun curam, cuaca tidak menentu dan risiko sesat yang sentiasa menghantui.

Itu realiti yang perlu ditempuh anggota penyelamat ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Perak.

Di sebalik perhatian masyarakat yang tertumpu kepada usaha menemukan mangsa, terselit satu kisah yang jarang diperkatakan iaitu pengorbanan anggota bomba dan penyelamat yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi memberi harapan kepada keluarga mangsa.

Bagi masyarakat umum, operasi SAR mungkin hanya dilihat sebagai usaha mencari individu yang hilang.

Namun, bagi anggota bomba, setiap operasi adalah perlumbaan dengan masa, cuaca dan keupayaan fizikal manusia.

Mereka perlu meredah kawasan hutan yang belum tentu mempunyai laluan jelas, memikul peralatan berat, berjalan berjam-jam tanpa jaminan akan menemui petunjuk baharu.

Lebih mencabar, Gunung Batu Putih bukan kawasan rekreasi yang begitu komersial seperti destinasi pendakian popular lain.

Setiap kali melangkah masuk ke kawasan pencarian, mereka membawa satu misi sama iaitu membawa pulang mangsa kepada keluarga.

Hakikatnya, operasi SAR di kawasan hutan bukan sekadar memerlukan kekuatan fizikal. Ia turut menguji ketahanan mental anggota yang terbabit.

Hari berganti hari tanpa petunjuk jelas boleh menimbulkan tekanan emosi, lebih-lebih lagi apabila keluarga mangsa masih menaruh harapan.

Dalam situasi seperti itu, anggota penyelamat perlu terus kekal fokus, membuat penilaian risiko dan merancang strategi pencarian yang terbaik.

Mereka perlu memeriksa denai, lurah, sungai kecil, kawasan berbatu dan lokasi yang berkemungkinan menjadi tempat perlindungan mangsa.

Ada kalanya pencarian dilakukan dari awal pagi hingga lewat malam sebelum disambung semula keesokan harinya.

Apa yang dilihat masyarakat hanya anggota yang berjalan masuk ke hutan, namun di sebalik itu terdapat pelbagai persiapan rapi, termasuk analisis kawasan, pemetaan laluan, pengurusan logistik dan koordinasi antara pelbagai agensi.

Setiap anggota yang menyertai operasi sedar bahawa keselamatan mereka sendiri juga perlu dijaga.

Dalam dunia SAR, ada satu prinsip penting iaitu penyelamat tidak boleh menjadi mangsa kedua.

Justeru, setiap langkah perlu dibuat dengan penuh berhati-hati walaupun desakan untuk menemukan mangsa sentiasa mendesak.

Sejarah operasi menyelamat di Malaysia membuktikan harapan tidak pernah terhenti walaupun masa terus berlalu.

Dalam misi mencari Jaslinda, harapan keluarga menjadi kekuatan kepada anggota penyelamat untuk terus melangkah.

Setiap jejak yang diperiksa, setiap laluan yang diteroka dan setiap kilometer yang ditempuhi membawa satu harapan yang sama supaya mangsa dapat ditemukan.

Walaupun hasil operasi akhirnya berada di luar kawalan manusia, usaha yang dicurahkan oleh pasukan penyelamat membuktikan satu perkara penting.

Di saat seseorang berdepan detik paling sukar dalam hidup, masih ada insan yang sanggup mempertaruhkan tenaga, masa dan keselamatan diri demi memastikan harapan itu tidak padam begitu sahaja.

Itu nilai sebenar pengorbanan anggota bomba, wira yang tidak pernah berhenti mencari selagi masih ada ruang untuk berharap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top