Pelawak Harith Iskander tampil bersuara mengenai sikap segelintir netizen yang gemar memberikan komen berkenaan pemakaian selebriti.
Menerusi perkongsian di Threads, Harith mempersoalkan adakah mereka yang meninggalkan komen tersebut memmpunyai banyak masa untuk risaukan mengenai pakaian orang lain.
BACA: Netizen Tegur Pemakaian Bella, Abang Syed Saddiq Respon “Leave Her Alone”
Difahamkan, Harith bertanyakan mengenai perkara itu selepas melihat komen berkenaan pemakaian pelakon dan penyanyi Bella Astillah yang dikatakan ketat dan tidak sesuai.
Kata Harith lagi, perkara itu bukan berlaku pada Bella sahaja malah beberapa selebriti wanita lain turut menjadi sasaran kritikan netizen.
“Kenapa ramai yang banyak masa untuk risau tentang cara orang lain berpakaian.. Kata baju ketatlah, tak sesuailah, macam-macam. Ramai selebriti wanita selalu jadi sasaran. Saya tertanya-tanya, kenapa ini menjadi masalah awak?” tulisnya.
Sementara itu, Harith berkata orang ramai sepatutnya memberi perhatian pada isu semasa yang boleh memberikan kesan kepada pihak lain.
“Kalau seseorang mencuri, menipu, membuli, menyerang atau menyakiti orang lain, ya. Masyarakat memang patut bersuara. Sebab tindakan itu memberi kesan kepada orang lain. Tapi kalau seseorang pakai pakaian yang secara peribadi awak tak suka, kenapa awak yang tersakiti,” katanya.
Terdahulu, penampilan Bella mengenakan gaun berwarna kuning menjadi perhatian ramai. Susulan itu, ada yang memberikan teguran terhadap Bella serta memberitahu sudah beberapa kali memuat naik hantaran memberi teguran mengenai pakaiaannya itu.




