Menganggap watak penyondol sebagai tipikal, pelakon dan model, Che Puan Juliana Evans mengaku akan menolak tawaran untuk membawakan watak itu sekiranya ditawarkan.
Katanya, watak tersebut terlalu klise dan menjatuhkan martabat seorang wanita sekali gus berpegang pada prinsip lebih selektif memilih naskhah lakonannya.
“Kalau boleh saya tak nak lah bawa watak-watak macam tu. Saya sedikit memilih tapi depends dengan watak yang diberikan. Kadang watak yang tak sesuai tu pun saya tak ambil.
“Watak penyondol ni it’s so easy and not challenging for me dan ia tipikal dan itu bukan apa yang saya mahukan untuk dilihat sebagai seorang pelakon.
“Sebelum ni saya juga ada ditawarkan berkenaan tapi saya agak memilih sikit. Saya rasa almost drama macam tu ada watak penyondol,” katanya.
Juliana berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui usai tayangan malam gala Filem Bisikan Dosa yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengulas lanjut, Juliana menjelaskan sebagai seorang yang sudah berkecimpung lebih dua dekad dalam industri seni tanah air, dia mahu naskhah yang mengangkat martabat wanita berbanding ‘menjatuhkan’ golongan tersebut.
“Saya nak watak wanita kuat bukan untuk merendahkan seorang wanita. Saya suka watak wanita kuat.
“Melindungi dan mempertahankan haknya. Itu lebih bermanfaat berbanding menjadi perampas suami orang.
“Sebagai contoh, saya mahu watak-watak berkaitan biografi, perjuangan seseorang untuk bangkit. Cabaran itu membuatkan saya lebih menghargai seni lakonan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pembabitan dalam filem Bisikan Dosa merupakan naskhah pertama dilakonkan selepas melahirkan anak kedua pada Jun tahun lalu.
Sekadar info, selain Juliana, filem Bisikan Dosa terbitan Yusrych Global Sdn Bhd turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti, Farid Kamil, Sara Ali, Uqasha Senrose dan Sherry Merlis.




