SHAH ALAM – Titah Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menegaskan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara serta tidak membenarkan mana-mana pihak melangkaui batas, wajar dijadikan pedoman dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk komuniti Rohingya di negara ini.
Pengerusi Malaysia Community Crime Care (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, baginda sentiasa menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap pelbagai isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat, justeru titah tersebut sewajarnya diberi perhatian serius oleh kerajaan serta agensi berkaitan.
Menurutnya, langkah lebih tegas dan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menangani isu PATI, termasuk melibatkan warga Rohingya, demi memastikan keselamatan, kestabilan dan imej negara terus terpelihara.
“Kita mesti melindungi negara serta menjaga imej Malaysia kerana sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Jika kita sendiri gagal memelihara imej dan ketenteraman negara, pelancong mungkin hanya datang sekali. Apabila mereka melihat keadaan yang tidak teratur atau kurang selamat, kemungkinan untuk mereka kembali semula akan berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Daniel berkata, rakyat Malaysia sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang prihatin dan mempunyai semangat kemanusiaan yang tinggi, namun nilai tersebut tidak seharusnya disalah tafsir sehingga mengabaikan kepentingan negara dan kebajikan rakyat tempatan.
Beliau berpandangan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini perlu diberikan kepada rakyat pelbagai kaum yang masih berdepan tekanan kos sara hidup serta cabaran mendapatkan sumber pendapatan yang stabil.
“Masih ramai rakyat yang hidup dalam kesempitan dan berusaha meneruskan kehidupan harian. Keutamaan sewajarnya diberikan kepada rakyat sendiri sebelum negara memikul beban tambahan yang akhirnya boleh menjejaskan kesejahteraan serta kestabilan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Daniel berpendapat Malaysia perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai golongan profesional dan tenaga kerja berkemahiran tinggi dari luar negara yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara.
Menurutnya, kehadiran tenaga mahir bukan sahaja dapat membantu memperkukuhkan sektor ekonomi, malah mampu membawa kepakaran baharu dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Kita perlu memberi fokus kepada kemasukan golongan profesional yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara, berkongsi kepakaran dan membuka peluang ekonomi baharu.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pendekatan berasaskan bantuan kemanusiaan semata-mata sehingga akhirnya membawa kesan yang tidak baik kepada negara,” ujarnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan segelintir warga asing yang didakwa menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dan berharap tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara.
Pada masa sama, Daniel berpandangan bahawa mana-mana pelarian yang tidak dapat ditempatkan secara kekal di Malaysia perlu dipindahkan ke negara ketiga yang bersedia menerima mereka menerusi saluran serta mekanisme antarabangsa yang sewajarnya.
“Kita perlu mengimbangi antara tanggungjawab kemanusiaan dan kepentingan negara. Keamanan, keselamatan serta kestabilan Malaysia mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya.



