Sukan@hmetro.com.my
Kegagalan skuad kebangsaan Perancis melepasi halangan Separuh Akhir Piala Dunia 2026 susulan kekalahan 0-2 kepada Sepanyol kelmarin nyata meletakkan barisan pemain utamanya di bawah radar kritikan pemerhati sukan.
Sugguhpun begitu, kelincahan bek kiri Aston Villa, Lucas Digne kekal mencuri tumpuan memandangkan dia kebal merekodkan lima penampilan utama dan empat ‘clean sheets’ selama 420 minit beraksi sebelum kemaraan Les Bleus tersekat.
Di sebalik deretan perlawanan berintensiti tinggi di atas padang, kelibat isteri Digne iaitu Tiziri sentiasa mencuri tumpuan apabila dia sanggup membawa anak-anak mereka ke Amerika Utara semata-mata mahu memberikan sokongan moral secara terus di stadium.
Jauh daripada persepsi wanita yang sekadar bergantung kepada status bintang suami, jelitawan berusia 33 tahun ini hakikatnya bersandarkan latar belakang akademik cemerlang menerusi kelulusan ijazah undang-undang dan sarjana Komunikasi.
Malah, profil kerjaya wanita kelahiran Perancis ini cukup ampuh apabila dia aktif membina nama sebagai pencipta kandungan digital fesyen selain pernah membintangi program televisyen memaparkan kehidupan isteri atlet, ‘Championnes: Familles de footballeurs’.
Menyelusuri detik awal perkenalan, pasangan sejoli ini merupakan kekasih zaman persekolahan yang mula menyulam cinta sejak masing-masing berusia 16 tahun di Lille, iaitu jauh sebelum Digne menandatangani kontrak profesional pertamanya.
Kesetiaan cinta sejati mereka akhirnya dimeterai secara rasmi menerusi ikatan perkahwinan pada tahun 2014, dan kehidupan rumah tangga pasangan ini kini diserikan lagi dengan kehadiran tiga cahaya mata.
Bergelar personaliti terkenal, Tiziri rancak memanfaatkan laman Instagram untuk memaparkan perkongsian estetik fesyen OOTD kelas atasan, momen menghadiri acara berprestij di Paris dan London serta sentuhan hiasan dalaman kediaman mereka di Birmingham.
Berbekalkan semangat positif yang sentiasa ditiupkan oleh Tiziri dan anak-anak dari tempat duduk VIP, dorongan keluarga itu pastinya ditagih sekali lagi apabila Digne dijadual beraksi bagi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada 19 Julai ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




