
Penyokong Tok Gajah dari Kuala Lumpur juga membarakan semangat pemain Tok Gajah di Bukit Jalil. Foto SRI PAHANG FOOTBALL CLUB
BEKAS tonggak Pahang, Azamuddin Akil menyuarakan harapan tinggi agar Tok Gajah terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2025–2026.
Gesaan itu dibuat setelah menyaksikan sokongan padu dalam kalangan penyokong Sri Pahang semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 2024–2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Bekas tonggak lincah Harimau Malaya itu menegaskan bahawa kehilangan pasukan yang memiliki antara pangkalan penyokong terbesar adalah satu kerugian besar buat arena bola sepak tempatan.
Azamuddin berpendapat kelab kendalian Fandi Ahmad, yang mengakhiri cabaran musim ini dalam kalangan lapan terbaik daripada 13 pasukan, seharusnya mengekalkan komitmen bertanding dalam liga.
“Sebenarnya, saya agak terkejut juga apabila melihat pemain-pemain Pahang beraksi dengan cukup cemerlang, sangat baik dan berkualiti pada malam final Piala Malaysia.

Elephant Army (EA) pemain ke-12 kepada skuad Tok Gajah di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto SRI PAHANG FOOTBALL CLUB
“Begitu juga dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong Tok Gajah yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan.
“Jadi, saya merasakan tidak wajar untuk Pahang menarik diri daripada saingan Liga-M 2025–2026 kerana saya percaya ramai peminat bola sepak akan berasa sedih dan kecewa,” katanya yang juga antara pemain skuad pemenang edisi Piala Malaysia 2014 lalu.
Perlawanan akhir Piala Malaysia 2024–2025 itu menyaksikan Pahang tewas 1–2 kepada JDT kendalian Hector Bidoglio hasil jaringan Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi yang memadamkan jaringan awal T Saravanan.
Sementara itu, Azamuddin turut percaya penyokong-penyokong setia Tok Gajah akan terus memberikan sokongan padu tanpa mengira situasi yang dihadapi kelab berpangkalan di Kuantan tersebut.
“Semua orang tahu Pahang merupakan antara pasukan yang banyak mencipta sejarah dalam arena bola sepak negara dan sesuatu yang merugikan sekiranya kita kehilangan pasukan ini, yang juga telah menyumbang kepada melahirkan ramai pemain berbakat besar untuk mewakili Malaysia.
“Jadi, saya berharap agar akan ada sinar buat pasukan ini untuk terus kekal dalam Liga Malaysia dan pihak pengurusan juga dapat mempertimbangkan semula sebarang keputusan untuk menarik diri,” katanya.