KANGAR – “Onn berada di tempat yang sewajarnya. Saya dan rakan-rakan akan menyokong beliau sepenuhnya. Teruskan perjuangan itu kerana saya juga tidak akan berhenti memperjuangkan nasib bangsa saya.”
Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyokong tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menolak kerjasama dengan DAP di negeri tersebut.
Menurutnya, pendirian Onn Hafiz yang juga sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya dilabel sebagai bersifat perkauman atau rasis.
“Apabila kita memperjuangkan nasib bangsa Melayu, ada yang terus melabel sebagai rasis. Dulu, ketika UMNO berkempen pada peringkat awal, selepas itu saya dibuang keahlian UMNO kerana slogan ‘No Anwar, No DAP’. Tiada siapa mengatakan UMNO rasis,” katanya pada Khamis.
Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata demikian menerusi video di media sosialnya ketika mengulas kenyataan Onn Hafiz yang dilaporkan menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP di Johor.
Menurutnya, memperjuangkan kepentingan orang Melayu tidak sepatutnya dianggap sebagai satu kesalahan.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada Bumiputera, justeru usaha memperkasakan bangsa tersebut tidak wajar disalah tafsir.
“Kalau kami bercakap mengenai usaha membina bangsa kami, dianggap rasis. Apa sahaja yang mereka lakukan pula boleh diterima,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahidan turut menyentuh pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berhubung isu berkenaan.
“KJ kata DAP bukan bangsa. Betul juga,” katanya ringkas.
Pada 7 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Datuk Onn Hafiz menolak kerjasama dengan DAP dan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas PRN Johor.
Menurut Onn Hafiz, realiti politik di Johor berbeza dengan situasi di peringkat Persekutuan memandangkan kerjasama antara BN, khususnya UMNO dan DAP, tidak pernah terjalin di negeri itu sebelum ini.



