am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Tolong selamatkan suami dan dua anak saya, mereka kini berada di atas bumbung rumah sejak malam tadi,” luah Fazlinda Mohd Salleh, 39.
Fazlinda berkata, dia sudah memaklumkan kepada beberapa agensi keselamatan termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan penyelamat daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu suami dan anak-anak yang terperangkap di Kampung Meranti, di sini.
Katanya, suaminya, Rizal Asmawi, 42, masih boleh dihubungi namun rangkaian telefon sudah terganggu dan kali terakhir dia memaklumkan bahawa dia bersama dua anak, Muhammad Faiz Fitri, 12, dan Muhammad Faiz Idlan, 15, terpaksa berlindung di atas bumbung rumah.
“Suami bersama anak pada awalnya sudah keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang, di sini, namun kembali semula ke rumah petang semalam untuk mengangkat barangan ke tempat selamat.
“Namun, kami tidak sangka air naik mendadak sehingga mereka terperangkap dan tiada orang yang dapat membantu susulan paras air yang sangat tinggi.
“Suami memaklumkan bahawa dia ada cuba keluar berenang ke rumah orang kampung untuk meminta bantuan, namun tidak berjaya sebelum kembali semula ke rumah,” katanya.
Fazlinda berkata, dia tidak mampu tidur lena memikirkan keadaan suami dan anak-anak yang semakin lemah serta kesejukan.
“Anak-anak saya sudah kelaparan selain sakit pada bahagian kaki mungkin kerana terlalu lama berendam di air.Tambahan pula, sudah tiada kawasan daratan untuk mereka berlindung.
“Saya mohon kepada semua pihak untuk bantu menyelamatkan mereka kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd