am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mempunyai kuasa sah untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pengguna dan pengusaha industri perlu memastikan bahawa logo halal yang dipamerkan adalah sah serta diperakui pihak berkuasa berwibawa serta tidak dikeluarkan oleh mana-mana syarikat atau pertubuhan persendirian.
“Orang ramai boleh menyemak status halal produk melalui Portal Halal Malaysia (http://www.halal.gov.my) atau aplikasi ‘Verify Halal’.
“Penggunaan logo halal tanpa kebenaran adalah satu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Mohd Na’im berkata, tindakan pihak ketiga yang tidak mempunyai autoriti dalam mengeluarkan sijil halal ini dengan menggunakan istilah seperti ‘pilihan Muslim’ dan sebagainya boleh dianggap sebagai memperihalkan sesuatu produk sebagai halal.
“Memperihalkan produk halal sedangkan mereka bukan pihak berkuasa yang sah di sisi undang-undang sekali gus tindakan ini boleh mengelirukan pengguna Islam serta memberi gambaran bahawa produk itu halal.
“Ini satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu integriti sistem pensijilan halal negara,” katanya.
Menurutnya, pensijilan halal Malaysia bukan sekadar logo atau sijil semata-mata, sebaliknya melambangkan amanah, integriti dan kredibiliti negara Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Tiada pihak boleh sewenang-wenangnya menggunakan istilah halal bagi tujuan komersial atau promosi tanpa pemantauan rasmi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan diingatkan bahawa hanya JAKIM serta MAIN atau JAIN mempunyai bidang kuasa dalam menguruskan permohonan SPHM sebagaimana diperuntukkan mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap produk, premis dan perkhidmatan benar-benar mematuhi standard dan piawaian halal Malaysia yang menyeluruh dan diyakini.
“Ia bukan sekadar berdasarkan tuntutan atau pengiktirafan daripada mana-mana pertubuhan atau badan yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa.
“SPHM yang dikeluarkan melalui proses penilaian serta pemeriksaan menyeluruh oleh juruaudit halal merangkumi aspek syariah dan teknikal, selaras dengan keperluan ‘Standard Halal Malaysia’ serta piawaian yang ditetapkan.
“Proses ini memastikan setiap produk, bahan mentah, operasi pengeluaran, penyimpanan dan penyediaan perkhidmatan benar-benar menepati prinsip ‘halalan toyyiban’, iaitu halal, bersih serta selamat untuk dimanfaatkan oleh pengguna Muslim,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpengaruh dengan penggunaan logo, simbol atau istilah yang diada-adakan kerana istilah berkenaan bukanlah perakuan halal yang sah dan boleh mengelirukan pengguna mengenai status halal sesuatu produk atau premis.
‘Satu kemestian, bukan pilihan’
Kuala Lumpur: Hukum mengambil barangan serta makanan yang halal adalah wajib.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin menegaskan bahawa memilih produk yang menggunakan cop halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama di negara ini adalah satu kemestian dan bukan pilihan.
“Dalam sebuah hadis sahih, Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksud, sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas dan terdapat antara keduanya perkara-perkara yang syubhat (samar) yang tidak ramai tahu mengenainya.
“Sambung hadis itu lagi, sesiapa yang memelihara dirinya daripada perkara syubhat, dia sudah memelihara agama dan kehormatannya, jika seorang itu mengambil yang syubhat, maka ia sudah terjerumus dalam perkara yang haram,” katanya.
Beliau berkata, hadis ini menjadi peringatan penting kepada umat Islam agar berhati-hati terhadap perkara syubhat dan menjauhi segala yang tidak jelas status halalnya kerana mengambil yang syubhat boleh menjerumuskan diri ke dalam perkara haram.
Menurutnya, umat Islam perlu memahami bahawa perkara syubhat ini banyak dalam kehidupan seharian.
“Jika seseorang membeli atau memakan makanan yang tidak jelas hukum halal atau haramnya, makanan itu boleh menjadi darah daging dalam tubuh dan ajaran Islam, kesannya amat besar kerana ia menyentuh soal pembentukan diri, akhlak serta kesejahteraan masyarakat.
“Bayangkan jika kita mengambil makanan yang syubhat, ia bukan sekadar soal makan minum, tetapi ia memberi kesan kepada hati dan jiwa seseorang.
“Oleh itu, memilih produk yang diyakini halal amat penting dalam menjaga kesucian diri dan ibadah,” katanya.
Faudzinaim berkata, itu adalah faktor umat Islam mesti memberi keutamaan kepada produk yang mempunyai cop halal diiktiraf oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, bukan sekadar tanda pada bungkusan, tetapi jaminan bahawa produk berkenaan disemak dan disahkan melalui proses ketat berdasarkan syarak.
“Wujudnya cop halal yang diiktiraf, umat Islam tidak perlu lagi ragu atau membuat semakan sendiri kerana ia sudah dipastikan halal oleh pihak berautoriti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



