Tomei lancar aplikasi GoldNow, bantu pemilikan emas serendah 0.1 gram

Tomei lancar aplikasi GoldNow, bantu pemilikan emas serendah 0.1 gram

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tomei Consolidated Berhad (Tomei) melancarkan GoldNow iaitu sebuah aplikasi mudah alih inovatif patuh syariah yang mentransformasikan cara membeli, mengumpul dan menyimpan emas.

Pengarah Urusan Kumpulan Tomei, Datuk Ng Yih Pyng berkata, aplikasi itu membolehkan pengguna memulakan perjalanan pemilikan emas serendah 0.1 gram sekali gus menjadikan pembelian emas lebih mudah diakses serta mengurangkan halangan kemasukan kepada pelaburan emas.

“Langkah strategik itu membolehkan Tomei menembusi segmen pasaran baharu khususnya individu yang sebelum ini beranggapan kos permulaan pemilikan emas adalah tinggi.

“Malah, ia juga akan merangsangkan pemerolehan pelanggan baharu dan memperluaskan penyertaan dalam pemilikan emas,” katanya pada majlis pelancaran GoldNow di pejabat Tomei, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Tomei, Chia Geh Yang dan Ketua Transformasi Tomei, Ng Yi Jia.

Menurutnya, aplikasi GoldNow dibangunkan untuk menghubungkan pengalaman digital dan fizikal dalam satu ekosistem yang menyeluruh.

“Melalui aplikasi ini, pelanggan dapat memantau pegangan emas mereka dengan telus serta menebus emas di kedai fizikal.

“Pengunjung kedai turut digalakkan untuk memanfaatkan GoldNow terutamanya pelanggan baharu Tomei.

“Integrasi dua saluran itu meningkatkan interaksi pelanggan dan memastikan pengalaman digital serta runcit bergerak seiring bagi memupuk hubungan pelanggan berpanjangan,” katanya.

Katanya, pelancaran aplikasi itu turut menyerlahkan kepakaran inovatif Tomei dalam pengurusan emas secara menyeluruh.

“Daripada pengumpulan emas secara digital hingga penebusan dan penyimpanan yang selamat, Tomei kini menawarkan ekosistem lengkap kepada pelanggan.

“Melalui GoldNow, perkhidmatan peti simpanan keselamatan Tomei (My Jewel Box) menerima aliran pelanggan baharu apabila pelanggan yang menebus emas boleh terus menyimpannya dengan selamat.

“Ia sekali gus memberikan ketenangan fikiran dan jaminan keselamatan kepada pelanggan yang menyimpan barang kemas dengan Tomei,” katanya.

Dengan lebih 50 tahun pengalaman dalam industri emas dan barang kemas, katanya, Tomei terus menerajui inovasi sambil mengekalkan warisan serta kualiti yang diiktiraf.

“GoldNow menandakan fasa baharu dalam legasi kepercayaan Tomei dengan menyediakan platform pengumpulan emas yang selamat, mesra pengguna dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top