Penyanyi versatile, Tomok muncul kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Larut’ hasil kolaborasi kreatif bersama A.R.T, Fai dan Amylea.
Diterbitkan oleh Alternate Records, lagu ini turut dijadikan runut bunyi (OST) bagi drama “Aku Bukan Ustazah 2” yang ditayangkan di TV3.
Menampilkan gabungan dua lagu lama yang diolah semula, ‘Larut’ membawa nafas baharu dalam genre pop rock.
Lagu ini mengisahkan tentang cinta yang tidak kesampaian, namun disampaikan dengan emosi mendalam dan susunan muzik moden yang menyentuh perasaan.
Menurut Amylea selaku penerbit, proses penciptaan lagu ini melibatkan ‘pembedahan kreatif’ menyeluruh dari struktur melodi sehingga liriknya bertujua agar sesuai dengan gaya vokal Tomok.
Proses rakaman ambil masa 2 jam
Berkongsi lanjut, proses rakaman untuk single ‘Larut’ ini hanya mengambil masa dua jam sahaja.
Bagaimanapun, hasilnya cukup kuat untuk dijadikan simbol kematangan seni Tomok.
“Lagu ini dekat di hati saya. Setiap bait lirik membawa emosi yang dalam. Saya harap peminat dapat rasa apa yang saya rasa ketika merakamkannya,” ujar Tomok.
Dengan adunan muzik oleh Bajai dan sentuhan teknikal dari Huzai, ‘Larut’ tampil sebagai karya yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga penuh makna.
Ia juga bukan sekadar lagu, tetapi bukti bahawa Tomok masih berbisa dan terus relevan dalam industri muzik tanah air.
Single ‘Larut’ kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube.




