Tottenham ‘semput’ sebelum mara

England: Tottenham terpaksa menunggu lewat permainan sebelum menyingkirkan kelab Liga Kejuaraan, Wycombe 4-1 menerusi tiga gol dalam empat minit terakhir untuk mara ke pusingan kelima Piala FA awal pagi tadi.

Jose Mourinho merehatkan tiga tonggak Harry Kane, Son Heung-min serta Tanguy Ndombele daripada kesebelasan utama ekoran jadual padat pasukannya dalam empat kejohanan akan datang.
Spurs memerlukan tiga jaringan pada separuh masa kedua untuk mengatasi Wycombe yang hanya menang tiga kali dalam 23 saingan divisyen dua musim ini.

“Kami menunjukkan karakter yang baik. Pemain yang saya masukkan dari bangku simpanan beraksi bersama misi membawa perubahan dalam pasukan. “Secara keseluruhan ia persembahan yang bagus dan keputusan yang baik,” kata Mourinho kepada BT Sport.

Gareth Bale diberi peluang mengisi kesebelasan utama, namun pemain yang dipinjam dari Real Madrid itu terlepas tiga peluang besar untuk memberikan pelawat gol awal. Tottenham juga ketinggalan pada minit ke-25 apabila Fred Onyedinma meledak gol ke penjuru gawang Spurs.

Percubaan Japhet Tanganga dan Moussa Sissoko kemudian terkena palang sebelum Bale menebus kesilapan dengan menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama. Tambahan 30 minit diperlukan oleh Spurs apabila mereka akhirnya mendahului apabila Harry Winks melakukan sepakan lencong ke gawang selepas percubaan Kane dinafikan Ryan Allsop.

Ndombele kemudian menyambung hantaran Heung-min bagi menjadikan kedudukan 3-1 sebelum mempamer aksi cemerlang sekali lagi dengn mengatasi pertahanan Wycombe dan meledak ke penjuru gawang pada penamat saingan. – AFP

Malay News
Sports Desk