Pelakon Tracie Sinidol mengakui wataknya dalam drama terbaharu Samarinda iaitu ‘Hilang Dalam Rindu’ benar-benar menguji kebolehan lakonannya.
Kata Tracie, menjiwai dua watak berbeza iaitu ‘Ara’ dan ‘Dira’ dalam drama rantaian ini menuntut emosi, bahasa tubuh dan intonasi yang berbeza.
“Cabaran terbesar adalah untuk menjiwai Aira dalam dua versi yang berbeza. Saya perlu tukar emosi, bahasa tubuh dan intonasi berdasarkan siapa Aira ketika itu, sama ada sebelum atau selepas koma.
“Setiap emosi perlu dibezakan secara halus, sebab Aira sebelum ini penuh dengan kemarahan dan dendam, manakala Aira selepas koma pula kosong, lembut dan keliru. Secara keseluruhan, pengalaman ini sangat bermakna buat saya dan banyak ilmu yang saya bawa pulang dari set ini,” katanya.
Drama arahan Along Kamaludin dan terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini mengisahkan tentang Aira Nadira (lakonan Tracie), seorang wanita yang hilang ingatan selepas koma dan kini bergelar isteri kepada Nadim Eijaz (Jazmy).
Namun, hubungan mereka kosong dan dingin tidak seperti pasangan normal.
Dalam usaha mahu mencari siapakah dirinya yang sebenar, Aira terpaksa berdepan dengan satu demi satu rahsia, memori silam dan konflik dalaman keluarga.
Lebih menyakitkan apabila cinta mula wujud dalam situasi yang dia sendiri tidak pasti sama ada perkara itu realiti mahupun ilusi.
Bersiaran mulai 17 Julai 2025, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di TV3, drama ini turut menampilkan pelakon berbakat seperti, Tracie Sinidol, Jazmy Juma, Qistina Rania dan Zarif Ghazzi.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.