Tragedi bukan tiket haramkan RXZ Members

Tragedi bukan tiket haramkan RXZ Members

lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tragedi meragut tiga nyawa setakat ini susulan Perhimpunan RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus, Terengganu, kelmarin kembali mencetuskan persoalan mengenai kewajaran penganjuran himpunan motosikal berskala besar itu setiap tahun.

Walaupun kebanyakan kemalangan berlaku ketika peserta dalam perjalanan ke dan dari lokasi acara, insiden berulang itu mengundang perdebatan mengenai aspek keselamatan jalan raya dan tanggungjawab semua pihak.

Perhimpunan RXZ Members yang kini memasuki edisi kelapan adalah antara himpunan motosikal terbesar di negara ini, menghimpunkan puluhan ribu peminat Yamaha RX-Z dari seluruh Malaysia selain memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, tragedi berkenaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghentikan penganjuran acara itu, sebaliknya menjadi titik perubahan bagi memperkukuh budaya keselamatan dalam kalangan komuniti motosikal.

Katanya, persoalan utama bukan sama ada himpunan itu perlu diteruskan atau dihentikan, sebaliknya bagaimana memastikan puluhan ribu peserta dapat pergi, menghadiri program dan pulang ke rumah dengan selamat.

“Tiada acara yang boleh dianggap benar-benar berjaya sekiranya masih ada peserta yang kehilangan nyawa. Keselamatan mesti menjadi ukuran utama kejayaan sesebuah penganjuran,” katanya.

Beliau berkata, PPKJR mencadangkan kerajaan mewujudkan Garis Panduan Nasional Penganjuran Himpunan Motosikal Berskala Besar yang mewajibkan pelaksanaan SOP konvoi, pelantikan marshal bertauliah, taklimat keselamatan, pembahagian kumpulan konvoi, jadual hentian rehat serta pemantauan perjalanan dengan kerjasama pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya.

Menurutnya, setiap himpunan motosikal juga perlu dijadikan platform pendidikan melalui pengisian berkaitan keselamatan jalan raya, tunggangan defensif, pengurusan risiko, pembangunan sahsiah dan kesedaran mengenai bahaya kelajuan, keletihan serta perlumbaan haram.

“Komuniti RXZ mempunyai pengaruh yang sangat besar dan mereka mampu menjadi duta keselamatan jalan raya sekiranya budaya disiplin, saling menghormati dan pematuhan undang-undang dijadikan identiti utama komuniti ini,” katanya.

Beliau berkata, semua peserta perlu mengelakkan tunggangan secara agresif, berlumba di jalan awam, melakukan pengubahsuaian motosikal yang menyalahi undang-undang serta menunggang dalam keadaan letih atau mengantuk, manakala setiap kemalangan hendaklah disiasat secara profesional bagi mengenal pasti punca sebenar supaya langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, Jamil menegaskan tanggungjawab utama memastikan keselamatan peserta tidak boleh dipindahkan kepada pihak berkuasa semata-mata. Sebaliknya, penganjur perlu dipertanggungjawabkan terhadap pelaksanaan audit dan pematuhan SOP penganjuran, selain berdepan tindakan sewajarnya sekiranya berlaku kecuaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top