Tragedi melombong emas haram, kerajaan negeri pertimbang hukuman penjara

Tragedi melombong emas haram, kerajaan negeri pertimbang hukuman penjara

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Kelantan sedang mengkaji untuk meningkatkan hukuman terhadap mereka yang melakukan kegiatan perlombongan secara haram termasuk mengenakan hukuman penjara.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia berikutan hukuman sedia ada tidak membebankan pelaku dan denda mampu dibayar susulan hasil melombong haram yang lumayan.

“Hukuman sedia ada tidak memberi kesan kepada mereka dan kita sedang mengkaji untuk meningkatkan hukuman sehingga kepada hukuman penjara.

“Berhubung kejadian dua maut ketika melakukan perlombongan emas di Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah, petang semalam, saya sudah diberi taklimat dan kawasan berkenaan juga bukan digazet sebagai kawasan perlombongan emas.

“Malah, pelombong di sana menggunakan jentera berat serta pam penyedut air dan saya juga melihat gambar keadaan tebing sungai di situ rosak teruk disebabkan kegiatan perlombongan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut beliau turut memaklumkan, pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum ini sering melakukan serbuan di lokasi terbabit.

“Namun ia seperti perumpamaan ‘halau ayam kemudian datang semula’. Susulan kejadian yang berlaku, saya arahkan PTG supaya melakukan pemantauan dan pemeriksaan lebih terperinci bagi mengekang kegiatan berkenaan.

“Isu perlombongan haram adalah isu serius. Jadi saya memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan kegiatan haram itu.

“Pada masa sama, kita akan menyiasat dakwaan mengatakan ratusan pelombong mendalangi kegiatan di lokasi terbabit sejak harga emas tinggi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 200 individu dipercayai dikesan mendalangi kegiatan perlombongan emas secara haram di kawasan Ladang Sawit Kampung Jerimbong Kuala Balah, di sini, yang menjadi lokasi dua lelaki maut akibat tertimbus petang semalam.

Kawasan ladang milik kerajaan negeri itu dikatakan sudah menjadi lokasi kawasan perlombongan haram sejak puluhan tahun lalu, namun jumlah pelombong meningkat mendadak sejak beberapa tahun lalu dipercayai didorong harga tinggi emas.

Selain penduduk setempat, penduduk luar daerah turut melakukan aktiviti berkenaan dengan kebanyakannya menggunakan pam penyedut air bagi mendapatkan hasil yang lumayan.

Sehingga kini, puluhan mesin pam penyedut air berada di lokasi berkenaan yang digunakan pelombong, meskipun kawasan berkenaan sering diserbu pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top