MCMC pandang serius! Tuntut statutori, TikTok gagal sekat kandungan hina Institusi Diraja

MCMC pandang serius! Tuntut statutori, TikTok gagal sekat kandungan hina Institusi Diraja

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial TikTok selepas didakwa gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi menyekat kandungan menghina Institusi Diraja Malaysia.

MCMC dalam kenyataan berkata, tindakan itu dibuat susulan kegagalan platform berkenaan menurunkan kandungan bersifat jelek melampau, palsu, mengancam serta melibatkan akaun palsu yang dikaitkan dengan Sultan Ibrahim.

Menurut MCMC, kandungan terbabit turut melibatkan video dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi yang dipercayai berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998).

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan jelek melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, walaupun libat urus dan makluman telah dibuat sebelum ini, reaksi TikTok dalam menangani kandungan berkenaan didapati tidak memuaskan.

Kegagalan itu termasuk tidak menurunkan kandungan dengan kadar segera serta membenarkan penyebaran berterusan bahan yang dianggap memudaratkan.

“MCMC menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.
“TikTok juga dikehendaki memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform,” jelasnya.

Tambah MCMC, TikTok turut diminta memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, MCMC menegaskan tindakan kawal selia dan perundangan akan terus diambil terhadap mana-mana penyalahgunaan platform digital yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“MCMC akan terus mengambil tindakan tegas dan setimpal bagi memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekalkan persekitaran dalam talian yang berhemah, selamat dan terjamin,” katanya.

Sumber: FB Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Scroll to Top