Tragedi Sungai Sedim: Adik terkilan gagal selamatkan kakak

Tragedi Sungai Sedim: Adik terkilan gagal selamatkan kakak

am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Saya terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan kakak walaupun arwah sempat memegang saya. Disebabkan arus deras, saya turut dihanyutkan tetapi bernasib baik dapat menyelamatkan diri,” kata Nur Afizul Sukri, 21.

Nur Afizul berkata, kejadian kepala air di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim, semalam berlaku terlalu pantas sehingga meragut nyawa kakaknya, Nur Atikah, 28, sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi, 3, serta seorang lagi mangsa daripada keluarga lain, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.

Menurutnya, mereka sekeluarga, kira-kira 15 orang termasuk ibu bapa serta adik-beradik yang lain berkelah di kawasan itu sebelum mandi di sungai.

Ketika kejadian kepala air berlaku, Nur Afizul berkata, dia terdengar bunyi kelam kabut dan jeritan selain nampak ramai pengunjung cuba menyelamatkan diri.

“Saya terus mencari kakak dan ketika itulah dia memegang saya, namun kami dihanyutkan arus deras. Badan saya terhempas pada batu sebelum kami terlepas.

“Saya cuba mencari kakak semula sebelum ternampak dua wanita dihanyutkan arus. Saya menyangka salah seorang daripada mereka ialah kakak, lalu bertindak menyelamatkan kedua-duanya.

“Saya kemudian memberitahu bapa salah seorang mangsa bahawa anaknya berjaya diselamatkan, namun saya gagal menyelamatkan kakak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), awal pagi tadi.

Nur Afizul berkata, tidak lama kemudian, dia nampak kakaknya sudah dibawa ke tebing sungai oleh orang awam dan dia cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) kepadanya.

Katanya, dia nampak mulut kakaknya berbuih dan tidak memberi tindak balas walaupun sudah beberapa kali melakukan CPR.

“Saya syak kakak saya terhempas ke batu kerana kepalanya berdarah.

“Begitu juga keadaan Muhammad Aariz yang ketika itu sudah kaku dan kedua-duanya tidak lama kemudian saya dimaklumkan mereka sudah meninggal dunia, ” katanya yang juga anak keempat dari sembilan beradik.

Menurutnya, kesemua mereka menetap di daerah ini dan kakaknya pula berniaga keropok lekor di kawasan Mergong.

Katanya, malam sebelum kejadian, mereka sempat bermalam di rumah neneknya di Kampung Tualang, Jitra dan masing-masing seronok untuk berkelah.

Media sebelum ini melaporkan, tiga maut selepas dihanyutkan arus deras ketika kepala air melanda Sungai Sedim, di sini, semalam.

Kejadian berlaku di pusat peranginan Sungai Sedim, di sini dengan tiga mangsa yang maut itu dikatakan ditemukan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top