PETALING JAYA: Perkhidmatan trak tunda atau ‘towing’ dijangka mengalami gangguan selama tiga hari bermula esok hingga Selasa ini susulan pengusaha industri berkenaan dijangka mengadakan mogok bagi mendesak kerajaan menyalurkan subsidi diesel demi kelangsungan operasi.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat insurans, Zurich Takaful, kawasan yang dijangka paling terjejas ialah Lembah Klang, selain kemungkinan gangguan turut melibatkan beberapa negeri lain di Semenanjung.
Menurut syarikat itu, waktu operasi trak tunda dalaman akan dilanjutkan bagi membantu pelanggan dan perkhidmatan disediakan secara berjadual bergantung kepada ketersediaan.
“Pada masa sama, pelanggan turut dibenarkan mengatur sendiri perkhidmatan trak tunda melalui pihak ketiga susulan gangguan operasi dengan tuntutan semula boleh dibuat tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam), Datuk Khairi Anuar Ahmad menggesa kerajaan segera menambah baik mekanisme subsidi diesel bagi memastikan operasi industri trak tunda tidak terjejas.
“Sokongan dasar yang lebih realistik amat diperlukan bagi memastikan industri berkenaan terus beroperasi dengan lancar. Perwatam menegaskan tindakan segera tanpa kompromi perlu dilaksanakan oleh semua pihak.
“Sebarang kelewatan lanjut adalah tidak boleh diterima kerana hanya akan memburukkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan insurans dan takaful di Malaysia,” katanya.
Khairi Anuar berkata, Perwatam mendesak semua syarikat insurans dan takaful am supaya segera menyemak serta melaraskan kadar bayaran kepada operator bantuan tunda.
“Kadar sedia ada didakwa tidak mencerminkan kos operasi sebenar, sekali gus menjejaskan keupayaan operator untuk berfungsi dengan berkesan.
“Ia juga boleh menyebabkan kelewatan bantuan, gangguan perkhidmatan dan peningkatan risiko keselamatan kepada pelanggan di lapangan,” katanya. – UTUSAN




