Trans Borneo: Projek mega hanya sahih diumum kerajaan – Anthony

Trans Borneo: Projek mega hanya sahih diumum kerajaan – Anthony

SEPANG – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengingatkan semua pihak agar berwaspada dengan sebarang pengumuman yang dibuat pihak swasta melibatkan projek mega seperti pembinaan landasan keretapi Trans Borneo.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebarang pengumuman mengenai penglbatan mana-mana pihak dalam pembinaan projek itu hanya boleh dibuat pihak kerajaan sahaja.

“Saya nak menasihatkan semua pihak supaya berwaspada dengan apa-apa pengumuman yang dibuat oleh mana-mana syarikat swasta berkenaan projek besar seperti ini.

“Projek mega seperti ini hanya sahih sekiranya diumumkan oleh pihak kerajaan.

“Projek Trans Borneo ini untuk membina satu jajaran keretapi hanya merupakan cadangan sekarang ini,” katanya pada sidang media, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat berpangkalan di Brunei menawarkan diri untuk memulakan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi, Trans Borneo.

Cadangan Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei untuk memulakan projek itu telah menarik perhatian media baru-baru ini dan ia bakal memendekkan masa perjalanan antara Brunei, Sarawak, Kalimantan dan Sabah.

Menurut syarikat itu, projek bernilai US$70 bilion (RM330 bilion) tersebut akan dilaksana dalam dua fasa membabitkan laluan sepanjang lebih 1,600 kilometer dan bakal dilengkapi kereta api berkelajuan tinggi yang mencecah kelajuan sehingga 350 kilometer sejam.

Dalam pada itu, Loke berkata, pihaknya belum dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara tersebut dan ia di luar pengetahuan MOT.

“Kalau mana-mana pihak swatsa berminat melaksanakan projek ini melalui pembiayaan swasta,, mereka kena berunding ataupun memberikan cadangan kepada pihak kerajaan (MOT).

“Saya difahamkan Kerajaan Sarawak dan Sabah juga tidak dimaklumkan berkenan cadangan ini, mereka pun tak tahu,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya pihak swasta berminat dalam pembinaan projek itu, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita tak menahu apa yang dinyatakan syarikat ini.

“Belum ada apa-apa kelulusan, kita tidak pernah berunding dengan syarikat ini.

“Saya nak nasihatkan supaya apa-apa kenyataan atau berita seperti ini mesti disemak terlebih dahulu, jangan mengelirukan orang ramai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette