BEIJING – Ketika fenomena yang disifatkan sebagai pelik namun kian popular, golongan belia di China kini dilaporkan menggunakan puting bayi versi dewasa sebagai alat untuk melegakan tekanan, kebimbangan dan masalah sukar tidur.
Trend ini telah mencetuskan perbincangan hangat di platform e-dagang dan media sosial, apabila ribuan belia sanggup membelanjakan antara 10 hingga 500 yuan (sekitar RM6.00 hingga RM294) bagi membeli puting khas dewasa yang dipasarkan sebagai alat bantu tekanan dan bantuan tidur.
Menurut pakar psikologi di China, trend ini dapat dijelaskan melalui konsep ‘fenomena regresi’, iaitu satu mekanisme psikologi di mana individu dewasa cenderung untuk kembali kepada perlakuan zaman kanak-kanak apabila berdepan tekanan melampau atau masalah yang sukar diselesaikan.
“Puting bayi melambangkan rasa selamat dan tenang pada fasa awal kehidupan,” jelas seorang pakar psikologi pada Selasa memetik laporan portal Sohu.
Ekoran itu, ramai pengguna mendakwa mereka berasa lebih tenang, dapat tidur dengan lena dan kurang tertekan apabila menggigit atau menghisap puting tersebut ketika bekerja atau sebelum tidur.
Namun, pakar perubatan memberi amaran bahawa penggunaan puting bayi dewasa secara berpanjangan boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mulut.
Pakar pergigian dari Universiti Sichuan,Dr Tang Caomin berkata, struktur mulut orang dewasa tidak sesuai dengan bentuk dan bahan puting bayi.
“Penggunaan jangka panjang boleh mengakibatkan masalah sendi rahang (TMJ), sakit sendi, bunyi ‘klik’ ketika membuka mulut dan kesukaran mengunyah,” jelasnya.
Beliau turut memberi amaran mengenai kerosakan mukosa mulut dan risiko ulser, terutamanya jika bahan puting tidak sesuai dengan mulut orang dewasa. Selain itu, penggunaan ketika tidur juga boleh mengganggu sistem pernafasan dan dalam kes serius, berisiko menyebabkan lemas.
Trend unik ini bukanlah yang pertama kali timbul dalam kalangan masyarakat moden yang mencari cara luar biasa untuk menangani tekanan. Sebelum ini, ada juga dilaporkan kaedah seperti memeluk lembu, menjerit dalam kotak, dan menyewa jurulatih untuk dipukul sebagai bentuk pelepasan emosi.
Bagaimanapun, trend terkini ini dianggap antara yang paling ganjil namun tetap berjaya menarik ribuan pembeli di China.
Walaupun kelihatan pelik, trend ini mencerminkan kegelisahan mendalam dalam kalangan belia moden terhadap tekanan hidup. Dalam usaha mencari ketenangan, ada yang sanggup mencuba apa sahaja walaupun kembali ‘menggigit puting’ seperti bayi. – Agensi