Usyk senarai tiga pencabar

Usyk senarai tiga pencabar

London: Juara mutlak heavyweight Oleksandr Usyk mendedahkan tiga pencabar berpotensi yang akan ditentang sebelum bersara dengan Jake Paul turut termasuk dalam senarai, menurut laporan semalam.

Usyk menyatukan gelaran heavyweight kali kedua dalam kariernya bulan lalu apabila menewaskan Daniel Dubois menerusi KO di Wembley selepas sebelum ini menundukkan Tyson Fury,pencapaian pernah dicapai dalam kategori cruiserweight juga.

Bintang Ukraine itu menewaskan lawan-lawan terbaik dalam divisyen tersebut, termasuk dua kemenangan masing-masing ke atas tiga jaguh Britain: Dubois, Fury dan Anthony Joshua. Kini, ketika dia berada di penghujung kariernya, Usyk berdepan keputusan besar mengenai pencabar seterusnya.

Kini dilaporkan terdapat tiga calon utama sedang dipertimbangkan dan salah seorang daripadanya ialah Jake Paul.

Dua lagi calon lawan yang berpotensi ialah Tyson Fury dan Joseph Parker yang berada dalam senarai utama untuk mencabar gelaran heavyweight dunia WBA, WBC, IBF dan WBO.

Sekiranya Usyk tidak memilih untuk menentang Parker, dia berkemungkinan terpaksa melepaskan gelaran WBO heavyweight, namun perkara itu tidak menghalangnya daripada meneliti pilihan lain.

Jake Paul dilaporkan sebagai satu pilihan, tetapi walaupun bintang YouTube itu memiliki rekod 12-1 dalam tinju, pertarungan antara mereka dijangka akan berlangsung dalam gelanggang MMA, bukan tinju.

Ahli pasukan Usyk, Sergey Lapin, memberitahu media Plejmo:

“Pasukan kini sedang bekerja untuk menentukan pertarungan seterusnya.

Kami sedang menilai beberapa pilihan, memberi tumpuan kepada mereka yang masuk akal dari sudut sukan, minat penonton dan status. Hampir setiap petinju telah mencabar Jake Paul. Tapi cerita kami berbeza.

“Bagi kami, ini tentang MMA, sesuatu yang tidak konvensional dan di situlah terletaknya kekuatan cadangan ini.

Kami bukan bercakap tentang pertarungan tinju dengan Oleksandr Usyk, tiada niat merendahkan Jake, tapi dalam MMA, peluang adalah lebih seimbang.”

Sementara itu, Tyson Fury berjanji untuk kembali ke gelanggang selepas pengumuman persaraannya yang terbaru, dan mendapat sokongan untuk menentang Usyk sekali lagi dalam pertarungan trilogi, meskipun tewas dalam dua pertemuan sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top