sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Trio memanah negara mencipta kejutan untuk meraih pingat emas di Kejohanan Piala Asia 2025 selepas mengalahkan pilihan utama dari India, dalam aksi final mendebarkan di Bukit Gombak, Singapura, sebentar tadi.
Pasukan compound wanita negara diketuai Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Ng Sui Kim berjaya mempamerkan prestasi cukup cemerlang serta panahan tepat untuk mengecewakan pasukan India melalui shoot-off 29-26 selepas terikat 232-232 dalam empat pusingan.
Pasukan India cuba bangkit di saat akhir tetapi trio negara ternyata lebih konsisten dalam melakukan panahan.
Lebih membanggakan, gandingan pertama kali mereka itu terus membawa tuah untuk meraih kejuaraan di peringkat Asia.
Kemenangan itu membolehkan mereka membuktikan bahawa wakil negara mempunyai kekuatan dan mampu mengalahkan pasukan terbaik di Asia sekiranya mempamerkan prestasi terbaik dalam kejohanan yang disertai.
“Alhamdulillah dengan keputusan hari ini. Atas kertas memang India adalah pilihan.
“Namun, saya beritahu kepada rakan sepasukan, ini adalah pentas final pertama kami, jadi kami buat yang terbaik sahaja.
“Ketika keputusan 233-232 dan diheret ke penentuan shoot out, rezeki memihak kepada kami,” kata Fatin Nurfatehah selepas aksi final, hari ini.
Kejayaan meraih emas sudah pasti akan menjadi motivasi terbaik untuk mereka meneruskan momentum itu pada kejohanan akan datang terutama Sukan Sea Thailand hujung tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




