rizar@mediaprima.com.my
JOHOR BAHRU: Pengendali Penang FC, Tomas Trucha menafikan pemainnya sengaja melewatkan permainan apabila kerap terbaring di padang sehingga mengundang rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Trucha menegaskan apa yang berlaku terhadap pemainnya sepanjang 90 minit sehingga mereka kerap terbaring di padang adalah faktor kecergasan yang jelas belum berada di tahap memuaskan, namun tetap meneruskan permainan.
Malah katanya, pengendali JDT, Benjamin Mora mengeluh dengan corak permainan pemain Penang FC dan mengamalkan corak permainan kompak di posisi pertahanan tapi itu bukan disengajakan.
“Mungkin juga pemain saya tidak bersedia dari aspek kecergasan. Ia permulaan saingan liga, sudah tentu rentak permainan yang berintensiti tinggi sukar diserap kalangan pemain… sebab itu mereka terbaring di padang.
“Bukan mudah menentang JDT dengan corak permainan pantas mereka. Pemain saya belum mampu mengejar setiap pemain lawan yang begitu rakus memberi tekanan terhadap benteng kami tapi itu bukan alasan kami sengaja mahu memperlahankan rentak permainan.
“Aksi babak pertama kami mampu beri tekanan kepada JDT dan bertindak melakukan serang balas. Malah Abdul Azim (Rahim) ada peluang mencipta gol tapi gagal. Namun pada babak kedua pemain terlalu berada di bawah dan memberi ruang buat JDT menjaringkan gol,” katanya.
Pengendali kelahiran Republik Chez itu berkata, sasaran aksi pertama menentang skuad kendalian Benjamin Mora untuk membawa pulang satu mata tapi hanya sedikit kelekaan di posisi pertahanan membolehkan JDT menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Beliau juga menambah tanpa kelibat dua tonggak utamanya, Casagrande dan Endrick dos Santos yang di gantung oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjejaskan perancangan taktikalnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




