
Hubungan Jerman dan AS masih tegang ketika ini berhubung perang di Iran.- Agensi
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan sedang meneliti kemungkinan mengurangkan jumlah tentera negaranya di Jerman susulan ketegangan dengan Canselor negara itu, Friedrich Merz berhubung perang Iran.
Trump dalam hantaran di platform Truth Social pada Rabu memaklumkan bahawa pentadbirannya sedang “mengkaji dan menilai” pengurangan tersebut, dengan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Langkah itu dilihat berlaku selepas Trump mengkritik kenyataan Merz yang mendakwa Iran berjaya ‘memalukan’ Amerika Syarikat dalam rundingan menamatkan konflik berkenaan, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik antara kedua-dua pemimpin.
Walaupun Merz kemudiannya menegaskan hubungan dengan Trump masih baik, kenyataan terbuka antara kedua-dua pihak menunjukkan perbezaan pandangan yang ketara mengenai konflik tersebut.
Setakat Disember 2025, lebih 68,000 anggota tentera AS ditempatkan di Eropah, dengan kira-kira 36,400 daripadanya berpangkalan di Jerman dan sekali gus menjadikannya lokasi penempatan terbesar tentera AS di luar negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Angkatan Tentera Jerman, Carsten Breuer, turut mengadakan pertemuan dengan pegawai pertahanan AS bagi membincangkan strategi ketenteraan baharu negara itu, termasuk peranan lebih besar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Trump sebelum ini kerap mengkritik sekutu Eropah kerana gagal meningkatkan perbelanjaan pertahanan, selain menggesa negara anggota NATO memikul tanggungjawab lebih besar terhadap keselamatan serantau.
Penganalisis melihat cadangan pengurangan tentera itu bukan sahaja berkait dengan strategi ketenteraan, malah berpotensi menjadi isyarat politik terhadap sekutu yang dilihat tidak sehaluan dengan Washington dalam isu global.- Agensi



