
Donald Trump . – Foto AFP
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali dengan retorik kosong menerusi ucapan merapu selama 20 minit di Rumah Putih pada Rabu.
Pemimpin Republikan itu seolah-olah sudah kehabisan modal untuk bercakap besar tentang ‘kemenangannya’ dalam konflik bersama Iran kerana hanya mengulangi ugutan serupa yang ‘dikitar semula’ daripada catatannya di platfrom Truth Social.
Trump dengan bangga menyatakan ‘objektif strategik teras’ kempen pencerobohan AS bersama Israel kononnya hampir selesai selepas peperangan tersebut berlarutan lebih 30 hari.
Tanpa memberikan butiran lebih jelas, beliau kembali menjangkakan operasi ketenteraan tersebut akan berlarutan selama dua hingga tiga minggu lagi.
Presiden ke-47 AS itu terus memprovokasi Teheran apabila mengugut mahu memperhebatkan serangan ganas ke atas Teheran sebelum menamatkan perang yang telah menggoncang seluruh dunia.
Trump dengan angkuh mengulangi ancaman mahu memusnahkan Iran sehingga kembali ke ‘Zaman Batu’.
Ketika sokongan terhadapnya kian merudum, beliau cuba meyakinkan rakyat Amerika tentang ‘kebaikan’ perang tersebut yang disifatkan sebagai satu ‘pelaburan’ pada masa depan.
“Ia tidak seberapa berbanding perang lebih lama dan konflik lain sejak seabad yang lalu,” katanya.
Walaupun Trump memberi ucapan mengarut, harga minyak mentah Brent, melonjak sebanyak lima peratus kepada AS$106 setong manakala pasaran saham di Asia turut mula merosot yang jelas menunjukkan kata-katanya umpama api yang membakar. – Agensi



