ISTANBUL – Pengulas politik Amerika Syarikat (AS), Tucker Carlson menyifatkan Presiden negara itu, Donald Trump sebagai ‘tebusan’ kepada Israel dalam konflik melibatkan Iran.
Tucker berkata, Trump bukan bertindak sebagai pemimpin dalam membuat keputusan berkaitan perang tersebut.
“Trump lebih kepada tebusan berbanding pembuat keputusan bebas.
“Malah, beliau melakukan perkara ini bukan atas kehendaknya sendiri,” katanya dalam temu bual bersama The New York Times yang disiarkan pada Sabtu.
Menurut Tucker lagi, pengaruh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta penyokongnya di AS menyebabkan Trump tidak mampu menarik diri daripada konflik itu, walaupun didakwa cuba menamatkannya.
Beliau turut mendakwa situasi menjadi semakin tegang apabila Israel bertindak melancarkan serangan terhadap orang awam di Lubnan hanya beberapa jam selepas Trump mengumumkan gencatan senjata dengan Iran pada 8 April lalu.
“Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk menggagalkan sebarang rundingan damai dan memastikan konflik berterusan sehingga Iran dilemahkan,” ujarnya.
Tucker juga menyelar tindakan Trump yang didakwa enggan mengkritik Netanyahu secara terbuka, sekali gus menggambarkan wujud kawalan besar terhadap kepimpinan Presiden AS itu.
Terdahulu, Tucker dikenali sebagai antara sekutu media paling lantang menyokong Trump.
Bagaimanapun, kenyataan terbaharu itu dilihat mencerminkan perubahan pendiriannya terhadap kepimpinan Presiden itu, khususnya dalam isu dasar luar melibatkan Asia Barat.



